PERWAKILAN Muktamar Parti Islam Semalaysia (Pas) yang ke 65 dengan sebulat suara bersetuju memberi mandat kepada pimpinan Pas Pusat dan Majlis Shura Ulama agar memeterai ta’awun dan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan UMNO dan parti-parti politik lain.
Selain itu, ucapan Presiden Pas sempena Muktamar tersebut yang bertunjangkan politik Pendekatan Damai menarik perhatian dan perhitungan warga bukan Islam, terutamanya piagam dan lima prinsip Pas .
Antara prinsip yang menarik perhatian pemikiran politik masyarakat India adalah prinsip ke ketiga, keempat dan kelima iaitu ‘kerjasama tahankan perpaduan dalam masyarakat majmuk’, ‘kerjasama menjalin nilai, akhlak dan integriti yang tertinggi’ dan prinsip ‘kerjasama yang saling hormati, saling membantu dan tidak musuhi’.
Malah Presiden Pas menegaskan mereka akan menjunjung konsep ‘Negara Hidayah’ yang menganjurkan dasar tidak ada paksaan dalam konteks agama, adil dalam pentadbiran, izinkan amalan tuntutan agama masing-masing dan menjaga sensitiviti warga bukan Islam. Presiden Pas juga mengutarakan konsep bahawa Pas akan ikhtiar dan menyokong usaha-usaha mencari persefahaman dalam perkara mencari titik persamaan serta dalam perkara berbeza.
Sekiranya kita meneliti ucapan Presiden Pas secara bijak, jelas menyerlahkan perubahan paradigma pemikiran politik baru. Parti yang pada satu ketika, kurang bersedia bekerjasama dengan UMNO, kononnya mendukung prinsip nasionalis.
Kini kelihatan bukan sahaja sanggup menjalin kerjasama malah menyokong perjuangan UMNO dalam menyatupadukan ummah. Malah Pas juga sedia bekerjasama dengan MIC, parti yang mewakili sebahagian besar kaum India dan rakan setia Barisan Nasional (BN)sejak negara mencapai kemerdekaan.
Tidak dapat dinafikan pada masa–masa lepas, masyarakat India secara amnya dan pengundi India secara khususnya agak fobia terhadap Pas kononnya Pas akan Islamkan semua warga bukan Islam di Malaysia.
Walaupun ‘Hukum Hudud’ tidak melibatkan warga bukan Islam, namun langkah wakil Pas membentangkan usul di Parlimen untuk laksanakan undang-undang Hudud, didapati menghantui pemikiran warga bukan Islam. Fobia tersebut telah menyebabkan pengundi India menjauhi daripada Pas.
Tetapi, ucapan dasar Presiden dalam muktamar berjaya menghilangkan fobia masyarakat India, malah percaya dan yakin bahawa Pas akan membela kepentingan warga bukan Islam.
Pendekatan Pas ini jelas menunjukkan mereka membuka lambaran baru dalam medan politik bukan sahaja mengukuhkan ukhuwah UMNO-Pas, malah menjalin hubungan baik dengan MIC, sebuah parti yang mewakili majoriti kaum India yang bukan Islam. Ringkasnya, dasar Pas kini dilihat lebih inklusif iaitu mengukuhkan perpaduan dalam kalangan ummah, dan mempertahan masyarakat majmuk.
Dasar dan ‘politik pendekatan damai’ Pas dijangka akan menimbul perubahan besar dalam politik negara dan Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) nanti. Statistik taburan pengundi di seluruh Malaysia menunjukkan hampir tiga puluh lima kawasan Parlimen terdiri daripada kawasan yang mempunyai 25 % pengundi India.
Perlu diingat bahawa MIC pernah menjadi asas kekuatan kepada kemenangan Parti Perikatan dan Barisan Nasional.
Persoalannya, apakah masyarakat India dan pemimpin-pemimpin MIC di akar umbi sedar dan menerima hakikat bahawa perubahan sedang berlaku dalam medan politik Malaysia termasuk paradigma baharu pemikiran politik Pas?
Apapun, memandangkan pemimpin-pemimpin Pas, UMNO dan MIC sudah sedia menjalin dan mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara mereka untuk mencapai matlamat politik bersama, maka PH dijangka akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan kemenangan diperolehi pada PRU-15.
DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik dan pensyarah komunikasi strategik.











