Pelaburan: perteguh atau kikis kedaulatan negara? - Utusan Malaysia

Pelaburan: perteguh atau kikis kedaulatan negara?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERIKUTAN dekad pengembangan ekonomi yang kukuh dan konsisten, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menerima lebih banyak pelaburan dan membantu memimpin Asia Tenggara ke era baharu pertumbuhan dan kesinambungan. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) komited untuk menyokong transformasi ini.

Baru-baru ini Overseas Private Investment Corporation (OPIC), AS melawat Malaysia untuk menyertai Simposium Bandar Pintar Malaysia-AS bagi meneroka peluang pelaburan baharu.

Kami juga mengumumkan rancangan untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menyokong pelaburan dan memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

Memuatkan artikel berkaitan…

OPIC kini mempunyai projek lebih AS$3 bilion yang dilaburkan dalam 75 projek di seluruh Indo-Pasifik dan ia merupakan sejarah panjang kerjasama yang pernah berlaku dengan rakan kongsi di seluruh rantau ini.

Projek ini merupakan salah satu daripada pelbagai cara pelaburan baharu yang dapat membantu membina teknologi dan infrastruktur moden untuk menyokong ekonomi abad ke-21 yang semakin beraneka ragam, dengan bandar yang semakin banyak dan semakin bersambung antara jirannya.

OPIC ialah institusi kewangan pembangunan AS dan selama hampir 50 tahun kami telah menyokong pembangunan loji kuasa dan hospital, pelabuhan, lapangan terbang dan infrastruktur telekomunikasi moden di seluruh dunia.

Sejak tahun 1975, kami telah menyokong 37 projek di Malaysia sahaja, merangkumi pelbagai sektor daripada pembuatan kepada perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan.

Kami menyedari keperluan yang tinggi hari ini untuk pelaburan tambahan dalam menghubungkan penduduk di dalam bandar merentasi sempadan, mewujudkan pekerjaan dan peluang lain yang akan menggalakkan kestabilan dan kemakmuran.

Kami juga memahami di saat yang luar biasa ini juga memberikan beberapa pilihan sukar yang akan memberi kesan kepada kesihatan dan kedaulatan ekonomi jangka panjang di seluruh rantau ini, dari Indonesia hingga ke Laos.

Adakah pelabuhan, lapangan terbang dan loji kuasa yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan pesat di Asia Tenggara dibina untuk bertahan lama – atau dibina dengan piawaian minimum?

Adakah kos projek infrastruktur moden ini dibayar dengan pelaburan yang bertanggungjawab – atau melalui bentuk diplomasi perangkap hutang yang semakin menonjol?

Dan, adakah pelaburan ini menguatkan kedaulatan negara – atau mengikisnya?

Lebih 200 tahun yang lalu, Presiden AS, John Adams menyatakan terdapat dua cara untuk menundukkan negara: “sama ada dengan pedang atau hutang.”

Menang-menang

Hari ini sebaliknya berlaku apabila asas pembangunan yang berlaku di seluruh Asia Tenggara banyak melalui projek infrastruktur utama yang membawa kepada tahap hutang sukar dikawal.

Disebabkan OPIC menyokong pembangunan melalui pelaburan dan bukannya bantuan, projek-projek yang kami dukung adalah berdaya maju dari segi kewangan.

Pada masa ini, kami mempunyai lebih AS$3 bilion yang dilaburkan di seluruh Asia, daripada projek menara selular yang membawa teknologi moden kepada masyarakat terpencil di Myanmar, kepada projek tenaga angin di Sulawesi yang mengukuhkan kebebasan tenaga di Indonesia.

Pada masa ketika pelabur-pelabur berasaskan negara mencurahkan pelaburan yang besar ke dalam projek infrastruktur di seluruh Asia, OPIC melabur melalui model yang dipimpin sektor swasta.

OPIC menyediakan pembiayaan dan insurans untuk membantu menggerakkan pelaburan tambahan daripada peminjam swasta yang lebih sesuai dan komited dalam memperuntuk sumber masa dan wang dalam jumlah banyak, yang diperlukan untuk membina infrastruktur kritikal.

Pendekatan kami terhadap pembangunan menekankan kualiti, piawaian tinggi, dan terma kewangan yang mampan. Matlamat kami adalah untuk menyokong projek menang-menang untuk pelabur dan negara tuan rumah – bukannya pemenang mengambil semuanya.

Dan kami ingin melakukan lebih banyak lagi. AS telah lama menjadi pemimpin dalam mempromosikan pembangunan mampan kewangan di seluruh dunia dan kelulusan Akta BUILD pada tahun lalu akan membolehkan kita menyokong lebih banyak pembangunan di seluruh rantau ini.

Akta BUILD membuka jalan untuk mewujudkan sebuah Perbadanan Pembangunan Kewangan Antarabangsa AS yang akan mempunyai lebih banyak sumber dan alat untuk pembangunan.

OPIC kini berubah menjadi agensi pembangunan baharu yang moden dan kami berharap untuk menggunakan sumber-sumber ini, dengan kerjasama rakan sekutu kami, untuk mengukuhkan ekonomi Asia Tenggara.

PENULIS ialah Ketua Staf Overseas Private Investment Corporation (OPIC), Amerika Syarikat (AS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini