Covid-19: Belum masa ikut jejak Britain

Covid-19: Belum masa ikut jejak Britain

KEADAAN pusat pemberian vaksin (PPV) di sebuah pasar raya di bandar raya Kuantan, Pahang kelihatan lengang dan tiada sambutan dari para pengunjung bagi mendapatkan dos penggalak walaupun PPV tersebut beroperasi sejak seminggu lalu. - UTUSAN0/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia boleh mengikut jejak Britain dan Sweeden untuk menamatkan sekatan Covid-19 sekiranya kadar vaksinasi dan dos penggalak mencapai 80 peratus manakala bilangan kemasukan hospital dan kematian terkawal, meskipun kes direkodkan setiap hari masih tinggi.

Bagaimanapun, Covid-19 terus menjadi ancaman jika peratusan vaksinanasi dan penerimaan dos penggalak masih rendah sehingga menyebabkan trend kemasukan hospital dan kematian menunjukkan peningkatan.

Sehingga kini, sebanyak 55.2 peratus populasi rakyat dewasa berusia 18 tahun ke atas menerima dos penggalak walaupun semalam merekodkan 20,939 kes Covid-19 dengan 99.44 peratus daripadanya adalah kategori satu dan dua.

Menurut laman CovidNow, Malaysia merekodkan 10 lagi kes kematian akibat Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan korban kini meningkat kepada 32,075 individu.

Malah turut dilaporkan adalah sehingga kini terdapat 107,883 kes Covid-19 yang masih aktif di negara ini iaitu membabitkan 89.6 peratus atau 96,655 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.
Selain itu, 5.3 peratus bersamaan 5,751 kes lagi berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), hospital (5,319), unit rawatan rapi (80) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (78).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi Dan Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hayati Kadir Shahar berkata, Britain dan Sweeden mengambil langkah berani menamatkan sekatan Covid-19 kerana situasi virus itu terkawal walaupun terus-menerus mencatatkan jangkitan pada setiap hari.

Menurut beliau, tidak dinafikan masyarakat kini terpaksa hidup bersama Covid-19 namun perlu ada keseimbangan antara risiko dan kebebasan bergerak bebas dengan mengambil kira trend kemasukan penggunaan katil hospital dan jumlah kematian.

“Sebelum mengikut jejak langkah Britain dan Sweden, kita terlebih dahulu perlu melihat kepada jumlah liputan vaksinasi dan dos penggalak di kedua-dua negara itu yang menunjukkan peratusan tinggi sekali gus berupaya memberikan perlindungan terbaik kepada rakyat masing-masing.

“Sebaliknya, Malaysia belum mencapai ke tahap tersebut apabila masih terdapat sejuta warga emas belum mendapatkan dos penggalak, sekali gus boleh mencetuskan risiko agak tinggi sekiranya segera melonggarkan atau menamatkan sekatan Covid-19 ketika ini,” katanya.

Britain bakal menjadi negara pertama di dunia menghapuskan semua sekatan termasuk arahan pengasingan kendiri yang dijangka berlaku pada masa terdekat manakala Sweden pula sejak kelmati sudah membatalkan hampir semua sekatan dan menghentikan ujian saringan Covid-19 percuma.

Mengulas lanjut, Dr Hayati berkata, peralihan fasa pandemik kepada endemik tidak bermaksud Kerajaan Malaysia perlu segera melonggarkan atau menamatkan sekatan namun masih perlu meneruskan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Katanya, sebarang usaha ke arah menamatkan sekatan tanpa merujuk kepada trend semasa dibimbangi boleh meningkatkan risiko kepada golongan komorbiditi dan warga emas sekali gus berpotensi menyumbang kepada peningkatan kes kematian.

“Tetapi keadaan kini sudah berbeza berbanding ketika negara merekodkan jumlah kematian amat tinggi apabila peningkatan kes mencecah puluhan ribu memandangkan waktu tersebut kadar liputan vaksinasi masih rendah.

“Namun paling penting sekarang adalah menggalakkan rakyat mengambil vaksin dan dos penggalak yang mampu beri perlindungan daripada mendapat kes lebih serius sekiranya disahkan positif Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Epidemiologi, Prof. Madya Dr. Malina Osman memberitahu, kini bukan masa sesuai sekiranya Malaysia mahu mengambil contoh Britain dan Sweeden untuk menamatkan sekatan jika jumlah vaksinasi belum mencapai sasaran.

Tegas beliau, walaupun situasi kes Covid-19 semasa terkawal berbanding tercetusnya gelombang sebelum ini, namun kerajaan perlu berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlaku pada masa akan datang.

“Kita perlu melihat keseimbangan antara data vaksinasi dan trend Covid-19 semasa sebelum menamatkan atau menamatkan sekatan. Tetapi buat masa sekarang, bukan masa sesuai kerana kadar liputan dos penggalak masih rendah termasuk dalam kalangan warga emas,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, kerajaan wajar melakukan persiapan untuk menuju ke fasa endemik bagi membuka ruang kelonggaran SOP tertentu yang dibuat bertujuan untuk membendung penularan Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×