PAS membuka ruang bekerjasama dengan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di saat UMNO hilang sokongan selepas kalah teruk dalam PRU 2018. Ia mungkin strategi taktikal untuk meyakinkan penyokong dan pengundi Melayu bumiputera bahawa gabungan Pas-UMNO adalah lambang penyatuan yang akan mengukuhkan negara.
Buat pertama kali, negara diperintah oleh Pakatan Harapan (PH), parti yang mendapat sokongan majoriti bukan Melayu walau dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Keadaan ini menggusarkan Pas, UMNO dan orang Melayu yang kurang selesa dengan sikap kurang sensitif kerajaan PH dalam isu berkaitan kesejahteraan Melayu dan bumiputera.
Kejatuhan PH, perubahan tampuk kuasa daripada Dr. Mahathir ke tangan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas pungutan akuan bersumpah dan kaedah temu bual seorang demi seorang yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong menyelesaikan kemelut eksekutif dengan bijak. Muhyiddin turut melantik lapan ahli Parlimen Pas dalam Kabinet iaitu tiga menteri penuh dan lima timbalan menteri. Antaranya Datuk Idris Ahmad, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Mengukuh bersama Pas dilihat akan memberi kelebihan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin. Ciri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti serpihan dengan bilangan ahli yang kecil masih belum cukup kuat dengan hanya bekerjasama dengan Pas.
Bersatu yang awalnya ditubuhkan oleh Dr. Mahathir mempunyai keahlian yang agak menarik. Bersatu di bawah Dr. Mahathir rata-rata bekas ahli UMNO. Tetapi selepas ‘Langkah Sheraton’, ahli Bersatu juga adalah mereka yang keluar dari PKR termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Hilman Idham, Datuk Zuraidah Kamarudin dan ramai lagi. Ahli Bersatu akhirnya adalah gabungan bekas ahli UMNO dan PKR. Keadaan ini mungkin menyulitkan dari segi sokongan dan persaingan kepentingan yang pasti berbeza.
Pada 14 September 2019, Piagam Muafakat Nasional (MN) antara UMNO-Pas secara rasmi dimeterai dengan persetujuan untuk mengembangkan naratif Melayu dan Islam tanpa menafikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya yang menjadi citra keharmonian negara. UMNO juga mahu mengukuh dengan Pas dan tuduhan pemberian RM90 juta juga dimainkan sebagai politik membeli ‘cinta.’
Selepas Piagam MN, Pas bersedia ‘kahwin’ lagi. Perjanjian kerjasama dengan Bersatu adalah tanda sokongan Pas terhadap Muhyiddin yang telah mendukung Pas dalam pembentukan Kabinetnya. Bersatu melihat kerjasama dengan Pas boleh menarik UMNO bersama, maka Perikatan Nasional (PN) diwujudkan pada 23 Februari 2020. PN adalah gabungan Bersatu-Pas-UMNO bersama parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak sebagai usaha mengukuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.
Seperti dijangka, cinta tiga dimensi antara Pas-UMNO-Bersatu mula menampakkan bibit-bibit keretakanis apabila penggunaan MN dan PN yang tidak konsten di beberapa negeri seperti Johor, Perak dan Melaka. Di peringkat akar umbi, ramai yang keliru, MN atau PN yang sebenarnya harus disokong.
TARIK TALI
Kekeliruan ini akhirnya menjadi percaturan politik ugut-mengugut atau politik tarik tali kerana masing-masing tidak mempunyai kekuatan dominan untuk membolehkan hubungan kuasa dalam cinta tiga dimensi ini dapat diurus dan diagih secara saksama. Masing-masing mahu memiliki kuasa, masing-masing mahu meletakkan calon dalam PRU15, masing-masing mula membawa arah masing-masing.
Politik ugut-menggugut ini bertambah parah saat negara berdepan pandemik Covid-19 dan kemelut di badan eksekutif bergolak lagi dengan UMNO mula ‘bosan’ duduk di bawah parti kecil Bersatu. Sifat ‘abang long’ dan perubahan yang selama lebih 60 tahun ‘UMNO adalah kerajaan dan kerajaan itu UMNO’ mula menggesa UMNO untuk menguji sejauh mana Muhyiddin mampu bertahan sebagai Perdana Menteri kelapan.
Pas pula tersepit seolah-olah perlu memilih sama ada untuk terus bersama UMNO atau Bersatu sedangkan pada awalnya Pas memilih untuk bersama kedua-duanya. Pemecatan Khairudin baru-baru ini menjawab dilema yang dihadapi oleh Pas dalam memilih antara UMNO atau Bersatu.
UMNO sudah pasti tidak dapat memaafkan tindakan bekas ahlinya keluar parti membentuk Bersatu, sebuah parti serpihan, kecil bilangan ahli dan mahu pula menumpang jentera UMNO sepanjang berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah atas nama PN. Sementara dalam PRN Melaka, UMNO tidak lagi teragak-agak untuk menolak tumpangan percuma kepada Bersatu dan mengambil keputusan untuk bertanding sebagai UMNO-BN tanpa Bersatu.
Kini persediaan PRN Johor memperlihatkan retak sudah hubungan cinta tiga dimensi ini. UMNO-BN mahu bertanding tanpa MN mahupun PN. Pas pula menghitung peluang untuk bersama UMNO kerana melihat kekuatan UMNO di Johor bukan kaleng-kaleng. Rekod Pas tidak pernah menang di Johor akan menyukarkan jika bertanding tanpa UMNO. Sementara Bersatu pula mahu menyakinkan Pas untuk kekal bersama PN sebagai langkah akhir berjuang dalam PRN kali ini.
PRN Johor dijadikan petunjuk dan ukuran kepada sejauh mana kerjasama strategik dalam perkongsian kuasa dapat membentuk kerajaan negeri dan akhirnya jangkaan bagi PRU15. Walaupun ramai yang melihat PRN tidak boleh disamakan dengan PRU tetapi kekalahan berturut-turut PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 2019 bermula dengan Cameron Highlands, Semenyih, Chini, Tanjung Piai, Slim dan Kimanis seolah-olah menjadi petunjuk dejavu bila PH kalah teruk dalam PRN Melaka, tahun lalu.
UMNO akan bertanding di Johor tanpa Pas dan Bersatu. UMNO mungkin gagah di negeri asal UMNO ditubuhkan, tetapi jika UMNO masih belum dibersihkan secara total, kluster mahkamah masih lagi menguasai, ibarat kerbau yang terpalit lumpur, semuanya akan berdebu dan berbau. PRU15 mungkin membuka lembaran baharu dari segi cabaran dan defisit kontemporari yang boleh menyebabkan strategi perkongsian kuasa berubah mengikut kepentingan semasa. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid ialah Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.










