Pelan-pelan kayuh Singa Utara - Utusan Malaysia

Pelan-pelan kayuh Singa Utara

PERLIS United FC bakal berentap dalam saingan Liga M3 yang dijadul bermula 12 Februari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS terlalu lama menyepi, Singa Utara yang merupakan antara gergasi bola sepak negara sebelum ini bakal kembali mewarnai menerusi penyertaan Perlis United FC dalam Liga Malaysia Divisyen Tiga (M3) yang dijadualkan bermula esok. Meskipun hanya berentap dalam liga divisyen tiga, namun ia sudah cukup mengubati sedikit kerinduan penyokong bola sepak Perlis selepas lebih sedekad Singa Utara seolah-olah lenyap dalam peta bola sepak tempatan.

Di Perlis, bola sepak diibaratkan hiburan utama rakyat dengan Stadium Dato Sheikh Ahmad (dahulu) sehinggalah Stadium Utama Kangar (kini Stadium Tuanku Syed Putra) sentiasa dipenuhi peminat bagi menyaksikan aksi pasukan kesayangan mereka.

Lewat 1990-an sehingga 2010, Perlis bukanlah nama asing dalam arena bola sepak negara dengan Singa Utara ketika itu cukup digeruni dan disegani pasukan lawan selain pernah dianggap giant killer yang memusnahkan pasukan-pasukan besar di Malaysia. Dalam era kegemilangan tersebut, Perlis merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005 selain menjadi pencabar utama kepada pasukan-pasukan hebat lain seperti Selangor, Pahang dan Singapura.

Malah, dari 2004 hingga 2008 khususnya, Perlis sering kali berada di pentas akhir saingan dengan antaranya merangkul kejuaraan dua kali Piala Malaysia selain membawa pulang Piala Sumbangsih yang juga dimenangi sebanyak dua kali. Pencapaian penuh gemilang itu cukup membanggakan seluruh rakyat negeri ini yang ketika itu tidak segan-segan bercakap mengenai kehebatan pasukan kesayangan mereka.

Setelah mengecapi pelbagai kejayaan dalam Liga Malaysia, Singa Utara yang pernah dibarisi pemain hebat seperti Philimon Chipeta, Emile Mbouh Mbouh, Stephen Keshi, Yusri Che Lah, Manzoor Azwira Abdul Wahid, Amran Omar dan ramai lagi tiba-tiba berubah dan mengalami kemerosotan teruk. Selepas itu, Perlis boleh dikatakan sudah ‘hilang’ dalam peta bola sepak negara. Hiburan rakyat Perlis terhenti.

Menjelang sepak mula Liga M3, para penyokong sudah pastinya merindui aksi Singa Utara dan para penyokong juga diharap tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap pasukan yang dibarisi kombinasi antara pemain senior dan muda anak tempatan. Tidak mengapa, kita bermula dari bawah dan pelan-pelan kayuh untuk menapak semula ke Liga Perdana, seterusnya kembali ke Liga Super iaitu piala yang pernah dimenangi Perlis pada 2005.

GELANGGANG KERAMAT

Apa yang penting, para penyokong Perlis United perlu kekal berada di belakang dan sentiasa menyokong penuh pasukan kendalian jurulatih Azizul Abidin itu. Penuhkan semula gelanggang keramat Stadium Tuanku Syed Putra apabila Perlis United menjadi tuan rumah aksi Liga M3.

Dalam tiga aksi persahabatan sebelum ini, Perlis United melakar dua keputusan seri dan satu kalah. Perlis United seri 2-2 menentang Bukit Tambun, 1-1 dengan Langkawi FC dan tewas 0-1 menentang Manjung City FC. Meskipun dilihat masih terdapat banyak kelemahan dalam beberapa aksi persahabatan itu, namun Azizul pastinya mempunyai ramuan tersendiri dalam membaiki kekurangan yang ada menjelang aksi sebenar Liga M3 menentang kelab Real Chukai FC dari Terengganu dalam perlawanan pertama.

Sebanyak 20 pasukan akan berentap pada saingan Liga M3 musim ini bagi memburu dua slot ke Liga Perdana 2023 dengan Perlis United berada dalam kumpulan B bersama pasukan Tok Janggut Warriors FC, Harini KS FC, Kijang Rangers FC, BRM FC, Respect FC, Kuala Lumpur Rovers FC, Bukit Tambun FC, PIB FC dan Real Chukai. Dengan semangat juang yang tinggi para pemain yang terdiri dalam kalangan anak jati negeri ini, Perlis United dijangka mampu memberi saingan hebat kepada pencabar lain.

Kepada pengurusan dan pemain Perlis United, bantulah pulangkan kembali ‘hiburan’ rakyat Perlis. Buatlah bersungguh-sungguh dalam mengembalikan zaman kegemilangan skuad Singa Utara. Mana-mana syarikat swasta, tokoh korporat khususnya dari negeri ini juga diharap dapat memberikan sokongan melalui penajaan atau sebagainya demi pasukan ini.

Percayalah, suasana di Perlis akan kembali meriah apabila pasukan bola sepaknya semakin kuat. Liga M3 adalah langkah permulaan kita untuk bangkit. Insya-Allah, kita mampu pergi lebih jauh selepas ini.

Bak kata seorang peminat setia bola sepak Perlis, Ahmad Nasran Mohd. Yusof, 40, kepada Utusan Malaysia selepas menyaksikan aksi persahabatan baru-baru ini, penantian untuk melihat Perlis kembali menjadi gergasi bola sepak negara meskipun agak sukar, namun tidak mustahil direalisasikan.

“Takpa, kita mula semula dari bawah, pelan-pelan kayuh. Apa yang paling penting ketika ini, kami boleh kembali semula ke stadium untuk memberikan sokongan,” katanya.

Ayuh penyokong Perlis, penuhkan stadium keramat kita selepas ini. Rempuh Perlis Rempuh!

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×