2 pegawai agensi kerajaan disiasat projek cerun jalan raya RM300 juta - Utusan Malaysia

2 pegawai agensi kerajaan disiasat projek cerun jalan raya RM300 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua pegawai sebuah agensi kerajaan direman bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima suapan bagi kerja-kerja penyelenggaraan cerun jalan raya membabitkan peruntukan RM300 juta setahun.

Dua pegawai itu ditahan bersama-sama dua pemilik syarikat untuk membantu siasatan.

Sumber berkata, dua pegawai agensi kerajaan terbabit masing-masing berusia 39 tahun kini bertugas di Negeri Sembilan, manakala seorang lagi di ibu pejabat Kuala Lumpur.

“Difahamkan, kedua-dua pegawai tersebut telah meminta dan menerima suapan daripada kedua-dua pemilik syarikat terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan di jalan negeri membabitkan peruntukan kira-kira RM300 juta setahun,” katanya di sini, semalam.

Kesemua suspek itu berusia antara 39 hingga 42 tahun direman selama enam hari.

Perintah reman sehingga 14 Februari itu dikeluarkan Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut.

Empat suspek masing-ma­sing ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kelmarin selepas hadir memberikan keterangan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×