PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang positif Covid-19 menerusi penggunaan ujian kit kendiri, namun tidak melaporkan kepada Kementerian Kesihatan melalui aplikasi MySejahtera.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Halimatus Sakdiah Minhat berkata, jangkitan wabak ketika ini dilihat sudah berada dalam masyarakat dengan lonjakan kes itu juga berkemungkinan besar berkaitan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Bagaimanapun katanya, penutupan sektor ekonomi dan sosial adalah mustahil kerana kedua-dua sektor itu tetap memerlukan satu sama lain.
“Selagi kes jangkitan Covid-19 setiap hari meliputi kategori satu dan dua yang tidak memerlukan kemasukan ke hospital, maka keadaan adalah terkawal.
“Namun, masalah utama adalah untuk memastikan mereka yang positif Covid-19 itu merekodkan (status mereka) dalam MySejahtera jika dikesan melalui kit ujian pantas (RTK) supaya Kementerian Kesihatan dapat melakukan tindakan selajutnya (seperti) pemasangan gelang dan kuarantin dirumah.
“Ini kerana ada potensi kes yang dilaporkan (ketika ini) berkemungkinan (kes) yang kurang dilaporkan. Sebab jika laporkan (status positif) perlu menjalani kurantin di rumah.
“Jadi apabila terdapat juga individu yang mungkin tidak mahu melakukan kuarantin kendiri, maka ini boleh menyukarkan lagi pengekangan penularan wabak dalam komuniti dan kes akan terus meningkat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kementerian Kesihatan menjangkakan jangkitan Covid-19 boleh mencecah sehingga 22,000 kes menjelang akhir Mac ini apabila nilai kebolehjangkitan Rt negara mencatat 1.20.
Menurut Dr. Halimatus Sakdiah, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pakai pelitup muka, melakukan RTK, mereka juga perlu merekodkan keputusan RTK tersebut di aplikasi
MySejahtera terutamanya apabila keputusannya positif.
“Tindakan sewajarnya perlu diambil bagi mereka yang gagal dan didapati positif kerana apabila kurang tindakan dan kita selalu ulang tak ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta keadaan terkawal, maka ramai yang ambil mudah.
“Kesedaran seseorang itu ada yang hanya boleh diberi dengan penyediaan maklumat, tetapi ada sesetengah juga yang kena ambil tindakan fizikal, baru ‘jalan’,” katanya. – UTUSAN










