PETALING JAYA: Kadar indeks jenayah di seluruh negara menunjukkan penurunan ketara untuk tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, penurunan itu disebabkan kesedaran masyarakat terhadap isu keselamatan bagi menjaga harta benda mereka selain peningkatan kempen pencegahan oleh pihak polis di seluruh negara.
Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sejak 2020 hingga tahun lalu apabila peningkatan sekatan jalan raya selain masyarakat yang perlu duduk di rumah antara penyumbang terhadap penurunan tersebut.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui keperluan mengimbas MySejahtera di premis-premis memudahkan pihak polis mengesan pelaku.
“Walaupun kadar jenayah menurun namun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJ masih tidak berpuas hati selagi indeks kegelisahan dalam kalangan masyarakat masih tidak dapat diturunkan selari dengan penurunan indeks jenayah.
“PDRM akan selesa jika masyarakat berasa selamat dan tiada perasaan khuatir apabila mereka hendak menjalani aktiviti harian tanpa takut dan gusar walaupun dalam apa jua waktu dan masa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Risikan/Operasi/Rekod (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, dalam tempoh empat tahun sejak 2018 hingga tahun lalu, sebanyak 265,355 kes melibatkan pelbagai jenayah dicatatkan.
Menurut beliau, jumlah itu melibatkan samun berkawan bersenjata api (63); samun berkawan tanpa senjata (19,995), samun bersenjata (25) dan samun tanpa senjata (12,879).
“Selain itu, kita turut mengesan sebanyak 72,931 kes kecurian, curi kenderaan (101,791 kes) dan pecah rumah (57,631 kes) dalam tempoh tersebut.
“Daripada keseluruhan kes, kita berjaya memberkas 163,902 individu yang terlibat dalam pelbagai jenayah ini dari 2018 hingga tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, pengaruh televisyen dengan menyiarkan unsur ganas serta cara-cara melakukan jenayah banyak antara punca penjenayah cenderung melakukan seperti rompak, samun dan mencuri.
Malah jelas beliau, kemudahan internet dengan pelbagai akses menyebabkan penjenayah boleh meniru terutamanya mereka yang terdesak mendapatkan wang dengan cara mudah.
“Ada antara pelaku kita dapati adalah penjenayah berulang dan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 diambil terhadap mereka.
“Selain itu, terdapat kes-kes jenayah yang menyebabkan mangsa cedera sehingga maut dan siasatan akan bertukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelas beliau. – UTUSAN










