KUALA LUMPUR : Gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan berpecah hanya kerana mahu menurut kehendak
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, Bersatu perlu menerima DAP jika ingin bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya itu.
“Nak bincang dengan PH tetapi tanpa DAP?
“Mana mungkin boleh berlaku begitu. DAP adalah komponen dalam PH,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan Bersatu sedang mempertimbang untuk menjalinkan kerjasama dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), namun, tanpa DAP.
Jelas sumber, perkara itu dibincang dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan akan dibawa ke dalam mesyuarat biro politik untuk diputuskan.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil memaklumkan, penggunaan logo yang berbeza antara PKR dengan DAP dan Amanah bukan disebabkan perpecahan.
Katanya ketika dihubungi, penggunaan logo itu adalah berdasarkan demografi kawasan yang ditandingi sekali gus menjelaskan keputusan tersebut bukan menunjukkan sebarang perpecahan.
“Berdasarkan apa yang berlaku di Melaka, rata-rata pengundi di kawasan separa bandar dan luar bandar, mereka lebih kenal logo PKR. Jadi penggunaan logo itu bergantung kepada kawasan yang ditandingi dan hujah yang diangkat pimpinan negeri, maka pimpinan pusat berpandangan sejarah penggunaan logo dalam PH ini perlu diberi ruang. Ini dipersetujui DAP dan Amanah, maka, diputuskan sedemikian.
“Sama seperti di Sabah pada 2020, DAP dan Amanah guna logo Parti Warisan. Ini bermakna, setiap parti ada ruang untuk mengajukan hujah dan keputusan tetap adalah keputusan bersama, bukan satu parti. Jadi, ini adalah keputusan bersama dan diterima baik pimpinan tertinggi dan apabila tiba PRN Johor nanti, setiap DUN akan memberi fokus kepada kawasan masing-masing. Jadi PKR masih dalam PH dan ini bukan isu.
“Ia lebih kepada taktik dan strategi,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE










