Dana awam untuk tujuan pembangunan, bukan parti politik - Utusan Malaysia

Dana awam untuk tujuan pembangunan, bukan parti politik

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemberian dana awam atau wang kerajaan kepada parti politik tidak sesuai dilaksanakan di negara ini walaupun dibuat di negara-negara maju yang mengamalkan pemerintahan demokrasi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata, Malaysia belum lagi bersedia untuk menggunakan wang rakyat bagi membantu parti-parti politik atas nama menyediakan keadilan gelanggang politik.

Menurut beliau, keutamaan penggunaan wang hasil cukai daripada rakyat adalah untuk pembangunan dan kemajuan ekonomi rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masa belum sesuai dan kurang wajar untuk wang rakyat iaitu kutipan cukai diagihkan kepada parti-parti politik semata-mata untuk tujuan perkasakan sistem dan proses demokrasi se­perti diamalkan di beberapa negara demokrasi maju di barat.

“Aspek berkaitan kewangan untuk tujuan menzahirkan keadilan politik demi pemerkasaan urusan demokrasi yang lebih utama dan perlu disegerakan di Malaysia ialah mewujudkan undang-undang pembiayaan politik,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad berkata, isu pembia­yaan politik sudah lama dibincang dan dijanjikan sejak 2015 semasa pentadbiran kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan undang-undang mengawal pembiayaan politik di negara ini.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan undang-undang itu boleh memastikan ketelusan setiap ahli dan parti politik di negara ini.

Katanya, cadangan sama juga dibangkitkan melalui Laporan Jawatankuasa Pembaikan Undang-Undang Proses Pilihan Raya (ERC) pada Ogos 2020.

“Tapi sehingga sekarang tidak nampak kesungguhan iltizam politik baik di pihak kerajaan atau di peringkat ahil-ahli Parlimen. Hakikatnya, undang-undang Pembiayaan Politik ini yang perlu disegerakan,” katanya.

Wan Ahmad berkata, hanya dengan undang-undang pembiayaan politik, negara dapat mengawal rasuah politik serta mewujudkan keadilan politik yang lebih saksama.

Undang-undang berkenaan kata beliau, demi menguatkuasakan tiga aspek iaitu pertama mengharamkan semua sumbangan atau derma politik daripada sumber luar negara daripada mereka yang bukan entiti atau warganegara Malaysia.

Kedua, katanya, semua derma politik atau atas nama politik tidak boleh dimasukkan ke dalam akaun individu, sebaliknya mesti disalurkan ke dalam akaun parti politik yang akan dipantau oleh

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Ketiga, semua penderma perlu diisytiharkan kepada pihak RoS dan boleh diumumkan kepada umum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×