Doktor tentukan dos penggalak - Utusan Malaysia

Doktor tentukan dos penggalak

JAKIM memberikan kuasa kepada jabatan agama negeri menentukan kaedah diambil terhadap guru KAFA enggan menerima vaksin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Individu yang mempunyai penyakit berisiko tinggi perlu mendapatkan nasihat doktor yang merawat mereka sebelum mengambil suntikan dos penggalak Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Ke­­sihatan, Tan Sri Dr. Noor Hi­sham Abdullah berkata, per­kara itu adalah protokol Kementerian Kesihatan sedia ada dan menjadi prosedur sebelum memberi suntikan vaksin atau dos penggalak kepada setiap individu.

“Ini adalah protokol sedia ada. Nasihat daripada doktor mereka adalah penting.

“Kes-kes berisiko tinggi memang ikut prosedur operasi standard (SOP) vaksin diberikan di hospital,” katanya di sini semalam.

Malah, beliau menjelaskan, kes-kes yang mempunyai sejarah penyakit perlu diberikan vaksin termasuk dos penggalak di hospital dan bukannya di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV).

Sebelum ini tular kes bapa Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang me­ngalami gejala muntah serta menjadi sangat lemah selepas menerima dos ketiga vaksin Covid-19 dan kini sudah lebih seminggu terlantar di hospital.

Beliau yang juga dikenali Dr. Maza menggesa kementerian itu memandang serius dan mengkaji kesan sam­pingan dos penggalak kepada individu yang mungkin tidak sesuai selepas bapanya sekali lagi di­serang angin ahmar melibatkan bahagian sensitif kepala walaupun puncanya belum jelas.

Bagaimanapun, Dr. Maza dalam rakaman video cera­mahnya di YouTube membe­ritahu, Dr. Noor Hisham telah menghubunginya kelmarin ba­gi memberikan penjelasan berhubung vaksin dan terbukti vaksin menurunkan kadar kes dan kematian di negara ini dan negara luar.

Dr. Noor Hisham turut menjelaskan kepada beliau bahawa banyak pihak mengaitkan berlaku kes-kes gangguan kesihatan dengan vaksin sedangkan ia terjadi disebabkan penyakit lain dan vaksin terbukti me­nunjukkan kesan lebih baik berbanding keburukan.

Mengikut kajian Institut Penyelidikan Klinikal (ICR-NIH) KKM, vaksin mampu menurunkan kemudaratan Covid-19 dengan sangat berkesan.

Mereka yang belum mene­rima vaksin adalah sembilan kali lebih berkemungkinan jangkitan dan 62 kali lebih berkemungkinan risiko kematian akibat Covid-19 berbanding mereka yang sudah mendapat vaksin bersama dos penggalak.

Mengenai kes bapa kepada Dr. Maza itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan, beliau mempunyai sejarah kesihatan se­perti angin ahmar pada tahun 2017 dan penyakit kencing manis dan darah tinggi tidak terkawal.

Beliau berkata, mereka yang ada penyakit-penyakit beri­siko tinggi perlu mendapatkan nasihat daripada doktor mereka sama ada sesuai divaksinkan atau tidak, tetapi jika bersesuaian, mereka diberikan vaksin di hospital, bukan PPV.

“Protokol Kementerian Ke­sihatan jelas, kes berisiko perlu divaksinkan di hospital dan dinilai oleh doktor merawat masing-masing sebelum diberikan vaksin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×