PLUS akui kelemahan RFID - Utusan Malaysia

PLUS akui kelemahan RFID

Aliran trafik bersempena Tahun Baharu Cina dijangka meningkat sehingga 2.6 juta kenderaan sehari ekoran pergerakan orang ramai ke seluruh negara bermula minggu depan. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengakui kelemahan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang tidak berfungsi dengan baik antara punca kesesakan berlaku di beberapa plaza tol PLUS kelmarin.

Seorang jurucakap PLUS berkata, pihaknya mengambil maklum masalah berkaitan sistem imbasan yang tidak berfungsi dengan elok sehingga menyebabkan palang tidak dibuka.

“Berhubung kejadian imbasan dalam kadar perlahan, pihak teknikal akan mengambil tindakan susulan dengan kadar segera bagi memberikan keselesaan kepada pengguna RFID.

“Malah, sekiranya rangkaian jaringan utama mengalami gangguan, kami masih mempunyai satu lagi rangkaian sokongan untuk memastikan sistem terus berfungsi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kata jurucakap itu, PLUS mempunyai pelan kecemasan bagi mengelakkan imbasan tidak berfungsi dengan baik terutama sekiranya berlaku masalah ca­paian internet.

“Jika ada kerosakan di lorong RFID, pihak kami menggunakan alat mudah-alih (portable handheld) yang menggunakan teknologi GSM untuk membuat imbasan,” jelasnya.

PLUS sebelum ini mengumumkan transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 10 malam, Sabtu lepas.

Sistem pembayaran menggunakan Tag Touch ‘n Go RFID diperluas bagi menjanjikan satu perjalanan yang senang, selamat dan selesa.

Dianggarkan lebih 10 juta kenderaan bakal beralih kepada penggunaan RFID dengan setiapnya perlu membayar caj RM35 yang dikenakan untuk setiap kenderaan.

Bagaimanapun, pergerakan ribuan kenderaan di beberapa Plaza Tol Lebuh Raya Utara-Selatan terjejas sehingga menimbulkan kesesakan di kedua-dua hala apabila sistem teknologi RFID itu dipercayai tidak berfungsi dengan baik.

Ini kerana aliran trafik bagi lorong yang menggunakan sistem RFID terganggu apabila sistem tersebut tidak dapat mengesan kenderaan pengguna sehingga menyebabkan barisan menjadi panjang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×