Program vaksinasi berkesan - Utusan Malaysia

Program vaksinasi berkesan

ORANG ramai mendapatkan suntikan penggalak vaksin Covid-19 di Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) Integrasi Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menafikan surat terbuka 113 doktor yang mendakwa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) gagal selain berisiko radang otot jantung kepada penerima.

Beliau menegaskan, PICK berada di landasan betul apabila lengkuk virus Covid-19 berjaya dilandaikan setelah pandemik itu berlaku hampir dua tahun.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, katanya, usaha itu me­nunjukkan pengurangan amat ketara daripada segi kadar jangkitan Covid-19 dan ke­masukan ke hospital, sekali gus membolehkan rakyat menjalani semula kehidupan dalam norma baharu.

Namun, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memperkukuhkan stra­­tegi-strategi untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan.

“Sepanjang pandemik Co­vid-19, satu daripada usaha kritikal bagi KKM adalah pelaksanaan PICK. Walaupun program mendapat sambutan positif dan menggalakkan, namun kita sentiasa memperkukuhkan strategi-strategi untuk memastikan agar rakyat Malaysia mendapat akses kepada vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan.

“Ini memerlukan usaha yang menyeluruh semua pihak termasuk daripada pelbagai kementerian, agensi-agensi kerajaan, badan sukarelawan dan komuniti.

“Hasil usaha itu semua pi­hak termasuk dalam program ini, keluk pandemik Covid-19 di negara Malaysia juga telah berjaya dilandaikan,” katanya.

Beliau mengulas surat terbuka oleh 113 pengamal perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tular baru-baru ini mendakwa risiko radang otot jantung (myo­carditis) dalam populasi pene­rima vaksin adalah satu dalam 3,000 orang.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham menambah kadar kes jangkitan Covid-19 bagi setiap 1,000 populasi melibatkan dalam kalangan kumpulan tidak divaksin adalah jauh le­bih tinggi daripada orang ramai yang menerima suntikan pelalian tersebut.

Beliau menjelaskan, rumusan itu berdasarkan kajian The Real World Evaluation of Co­vid-19 Vaccination (Recovam) di bawah PICK bagi melihatkan keberkesanan dan keselamatan vaksin sejak dilancarkan di negara ini pada tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×