KETIKA sesi temu bual dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, DATUK SERI RINA HARUN di pejabatnya di Aras 38, kementerian itu baru-baru ini, gaya dan personaliti beliau jauh berbeza sama sekali daripada imej negatif yang cuba digambarkan di media-media sosial.
Saat wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, NIZAM YATIM dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurugambar, FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR menyantuni beliau di pejabatnya di Putrajaya, Rina cekap mengendalikan temu bual itu dan menjawab semua soalan secara berfakta dan tersusun.
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai hampir 200,000 ahli itu juga kelihatan yakin, relaks dan menampilkan semangat kekitaan saat berbicara soal kebajikan rakyat, apabila setiap butir kata dilontar tanpa mengira fahaman politik.
Bagaimanapun, seperti yang tular di media sosial apabila serangan demi serangan terhadap karakter dibuat bertubi-tubi menyasarkan dirinya, wanita tinggi lampai ini mengakui terkesan dan sedih melihat budaya yang mempamerkan nilai kasih sayang semakin terhakis.
Namun, semangat perjuangannya cukup kuat dan kental untuk meneruskan misinya membantu Keluarga Malaysia.
UTUSAN: Apa penambahbaikan akan dibuat daripada pengalaman banjir, baru-baru ini?
RINA: Semasa banjir kali ini, makanan disediakan melalui tempahan katering yang siap dimasak dihantar terus kepada mangsa banjir. Kaedah ini secara tidak langsung dapat memenuhi penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding masak secara gotong-royong.
Kita dalam usaha untuk melihat dari segi teknologi makanan yang baharu seperti pek makanan yang boleh bertahan lebih lama, yang boleh dipanaskan sendiri atau lebih mudah disediakan dan pek kalis air. Selain itu, makanan tadi kalau kita hantar melalui udara terutama ke tempat yang kita tidak boleh masuk, bila dijatuhkan ke bawah pek makanan tidak pecah atau rosak. Ini kita sedang teroka untuk digunakan pada masa akan datang.
Bencana ini sebenarnya banyak mengajar untuk kita menambah baik dan mempercepatkan urusan di PPS. Pada masa sama, kita perlu teliti lagi macam mana hendak mempermudahkan proses.
Agak huru-hara jentera kerajaan mengendalikan bencana ini. Mengapa?
Kerajaan sebenarnya telah mengambil segala langkah dan cuba buat yang terbaik. Mungkin (kerana) banjir ini berlaku serentak dan keadaan pula agak luar dari kebiasaan, saya akui ada perkara-perkara yang kurang sempurna. Selain itu, rekod menunjukkan ramai juga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain jabatan yang sepatutnya bertugas membantu mangsa banjir, mereka juga menjadi mangsa banjir.
Bayangkanlah, saya dengar seorang mangsa menceritakan kepada saya semasa dia keluar menghantar suaminya pergi bekerja, air naik setakat lantai sikit sahaja. Bila dia balik dan hendak mengemas rumah, air sudah naik sampai paras paha, begitu cepat sekali air naik. Jadi, bagi saya, elok juga kita mengambil iktibar daripada segala musibah yang terjadi, pasti ada hikmahnya.
Antaranya kita boleh belajar bagaimana untuk perbaiki dari segi perkhidmatan. Contohnya, apa tindakan bila banjir berlaku serentak. Selain itu, kita perkemas sistem amaran awal banjir, bukan sahaja kepada penduduk tetapi kita (jabatan-jabatan kerajaan). Begitu juga dari segi kelengkapan seperti bot penyelamat, kita perlu sentiasa membuat persiapan terutama di tempat berisiko banjir walaupun jarang-jarang berlaku.
JKM TAK HANTAR MAKANAN?
Terdapat aduan JKM tidak menghantar bantuan makanan. Benarkah?
Berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20, tugas JKM untuk bekalkan makanan di PPS sahaja. Tapi kali ini ada mangsa tidak berpindah ke PPS kerana rumah mereka tidak dinaiki air, cuma terkepung di kawasan perumahan. Ataupun mereka tidak dapat ke PPS walaupun rumah dinaiki air. Mereka ini juga perlukan bekalan makanan. Di sinilah mungkin agak lambat sedikit, saya akui.
Namun, penghantaran tetap diuruskan oleh JKM dengan kerjasama tentera, bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Malaysia. Bila saya terangkan kepada mangsa yang tidak duduk di PPS tentang masalah kelewatan tadi, mereka faham. Kedudukan rumah merata-rata, mungkin ada yang terlepas pandang. Dengan kata lain untuk banjir baru-baru ini, kita sediakan perkhidmatan tambahan di mana mereka yang tidak duduk di PPS pun dapat bantuan makanan.
Saya minta maaf sekiranya saya tidak dapat bantu semua orang, tak dapat turun ke semua kawasan terjejas banjir kali ini. Namun, petugas ‘jaket oren’ JKM telah turun ke semua kawasan terkesan sejak bencana banjir bermula.
GANGGUAN SEKSUAL
Boleh komen Akta Anti Gangguan Seksual?
Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Gangguan Seksual sebenarnya telah pun dibuat bacaan kali pertama pada sidang Parlimen baru-baru ini dan akan dibuat bacaan kali kedua dan ketiga, insya-Allah. Kita amat perlu Akta Anti Gangguan Seksual ini antaranya kerana akta atau undang-undang sedia ada tidak mencukupi. Contohnya, kes yang banyak terjadi di tempat kerja, jika kita lihat bagi kakitangan kerajaan, kita ada peraturan dan panduan termasuk pekeliling daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sekiranya berlaku gangguan seksual, apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh mangsa.
Walaupun di sektor swasta dah ada Akta Kerja, tapi ia tertakluk kepada majikan sama ada untuk ambil tindakan ataupun tidak sekiranya aduan dibuat. Namun, di sektor swasta belum ada peraturan dan undang-undang yang jelas kecuali undang-undang umum seperti Kanun Keseksaan dan lain-lainnya. Selain itu, gangguan seksual bukan sahaja berlaku di tempat kerja, malah di tempat awam seperti di pasar atau pengangkutan awam. Oleh itu, kita perlu ada satu akta (khusus) untuk gangguan seksual ini.
Apa halangan yang lazim berlaku dalam mengendalikan kes gangguan seksual?
Banyak kita dapat respons daripada mereka, (mengenai kesukaran) hendak menerangkan dan membuktikan berlakunya gangguan seksual itu. Akhirnya, banyak terjadi kes mereka tidak dapat diselesaikan sehingga jadi satu tekanan pula kepada mangsa.
Sebenarnya bila kita sebut gangguan seksual, ia bersifat umum, tidak kira lelaki atau wanita. Namun, kalau kita lihat selalunya yang ramai adalah wanita. Definisi gangguan seksual ini juga luas termasuk ejekan tubuh (body shaming) yang selalu dibuat melalui media sosial.
PROSES GUBAL AKTA
Ada yang kurang berpuas hati kerana proses penggubalan akta ini agak perlahan. Benarkah?
Proses ini bukan senang kerana ia merupakan akta baharu, bukannya suatu pindaan kepada akta sedia ada. Dengan kata lain, ia kena mula dari sifar. Oleh itu kita perlu membuat sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk majikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kementerian juga menubuhkan Pasukan Projek Khas terdiri daripada agensi kerajaan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, ahli akademik dan wakil-wakil NGO yang cukup berkemahiran dalam isu ini.
SAYA JUGA ADA HATI, PERASAAN
Ketika banjir tempoh hari, ada pihak mengambil kesempatan mencalar karakter dan imej ahli politik termasuk Datuk Seri. Komen?
Ia tidak melemahkan semangat saya dengan ada pelbagai cabaran dan dugaan. Banyak isu membabitkan saya, bukan (disebabkan) kita tidak memberikan perkhidmatan atau bantuan. Ia lebih kepada perkara-perkara kecil yang lebih bersifat peribadi, bukannya soal kerja ataupun mutu perkhidmatan. Ia lebih kepada (penampilan).
Sebagai contoh, kasut saya pakai itu (melawat mangsa banjir) bukan tinggi sangat. Cuma kerana pada hari itu, saya ada perhimpunan agung tahunan (AGM) Bersatu dan memakai baju kurung. Sebagai Ketua Srikandi, saya kena hadir dan dalam masa sama, saya dapat laporan keadaan banjir semakin teruk. Hati saya tak tenteram dan terlalu risau. Sekolah yang saya pergi itu, tidak tersenarai sebagai PPS pun pada awalnya. Saya turun ke situ sebab berhasrat nak tengok bagaimana kebajikan mereka (mangsa banjir) dan apa bantuan yang diperlukan mereka. Saya tukar baju sahajalah, masa itu dalam kereta pun tak ada kasut lain. Jadi, pakailah kasut yang mana ada, sebab saya kira keberadaan saya itu lebih penting, tetapi kasut juga rupanya dijadikan isu. Waktu kritikal macam itu, saya tak terfikir panjang. Yang penting, kita perlu pastikan rakyat terima bantuan, bantuan sampai dan sebagainya. Inilah yang bermain dalam pemikiran saya.
Komen tentang dakwaan Datuk Seri cuci simen bersih di PPS hanya bagi tujuan ‘posing’?
Saya rasa tidak mahu mengungkit lagi insiden yang amat ‘menyedihkan’ ini. Biarlah ia jadi pengajaran dan iktibar kepada semua.
Adilkah Datuk Seri diperlakukan begitu? Tak sedihkah?
Saya juga ada hati dan perasaan, saya manusia biasa. Terus terang saya merasa sedih juga, sebab saya cuba membantu mereka (mangsa banjir), tapi saya menerima tohmahan begini. Tak apalah, ini semua asam garam sebagai pemimpin.
KASIH SAYANG
Apa pengajaran boleh diambil daripada kerenah warganet?
Sebagai menteri yang menjaga keluarga, saya sentiasa memikirkan masa hadapan masyarakat kita. Saya fikirkan kanak-kanak dan saya juga fikirkan institusi keluarga kita.
Apa yang perlu kita tekankan sekarang sudah tentulah sistem nilai, iaitu tatasusila, tataetika dan adab termasuk semasa berinteraksi di media sosial. Kita kena ingat slogan ‘Bahasa melambangkan bangsa’, ‘Bahasa jiwa bangsa’ dan sebagainya.
Boleh jelaskan lebih terperinci?
Saya risau anak-anak kita suatu hari nanti tidak mementingkan budi bahasa dan akhlak serta nilai moral lagi. Sebaiknya kita wujudkan sebuah masyarakat yang berpegang kepada nilai yang muda dikasihi, yang tua dihormati. Saya kira itulah hasrat kerajaan sekarang yang menampilkan konsep Keluarga Malaysia yang aman harmoni. tanpa mengira fahaman, kepercayaan mahupun bahasa dan suku kaum.
Bagaimana mengatasi kebencian yang disebar di media sosial ini?
Bagi mengatasi masalah ini, sebelum (kebencian) berlaku, kita kena galakkan dan sebarkan nilai kasih sayang (spread the love) yang sejati dalam kehidupan. Mana-mana agama pun mengajak kepada kebaikan dan kasih sayang. Jadi, itulah bagi saya formula yang amat berkesan.
PRU15: KERUSI PILIHAN?
Ada pihak kata Datuk Seri akan kekal di Parlimen Titiwangsa tetapi tak kurang pula bercakap Sepang jadi pilihan. Mana satu?
Sebagai ahli parti, sudah pasti saya akur keputusan pucuk pimpinan. Jadi, di mana saya diletakkan nanti, itu berdasarkan keputusan pucuk pimpinan dan saya serahkan kepada keputusan mereka. Apabila saya dicalonkan di Titiwangsa dulu pun, saya tak tahu saya nak bertanding di situ. Jadi, sama juga. Sebagai ahli parti, kita ikut sahajalah.
Sebagai seorang pemimpin pula, kita perlu sentiasa bersedia terima arahan dan cabaran.
Bagaimana boleh timbul ura-ura bertanding di Parlimen Sepang?
Saya ialah Ketua Srikandi Bersatu Sepang. Jadi, jawatan politik saya di situlah. Apa yang pasti, saya perlu bantu Bersatu di Sepang. Kebetulan pula Ahli Parlimen Sepang adalah daripada Pakatan Harapan (PH), sudah tentu ada hasrat parti untuk rampas kawasan itu.
BERSATU MAKIN SURAM?
Masa depan Bersatu nampak suram selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak?
Bersatu jika hendak dibandingkan dengan parti-parti lain yang ada kecuali Parti Bangsa Malaysia (PBM), kita baru berusia lima tahun, agak muda sangat. Apabila kami memasuki Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, masa itu berusia baru dua tahun. Alhamdulillah, walaupun pada usia itu, kita menang 13 kerusi Parlimen dan kita menang banyak juga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Adakah ini bermaksud Bersatu diterima rakyat?
Bagi saya, untuk parti yang baru berusia dua tahun, ini satu pencapaian agak membanggakan. Namun, parti akan sentiasa memperbaiki, menambah dari segi latihan, kesiapsiagaan jentera dan sebagainya.
Sebagai Ketua Srikandi, saya melihat perlunya mendekati wanita-wanita muda terutama dengan wujudnya pengundi 18 tahun (Unid18). Kami akan terangkan visi dan misi parti kami, (agar) mereka boleh buat pilihan yang tepat.










