PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki wajar dipanggil ke sidang Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan daripada ahli Parlimen berhubung isu pemilikan saham syarikat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa) 1952 (Akta 347) memperuntukkan mana-mana pegawai tinggi boleh dipanggil ke Parlimen untuk memberikan penjelasan membabitkan isu kepentingan awam dan negara.
Katanya, kebiasaan selama ini ialah mereka memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) apabila pegawai-pegawai kerajaan dipanggil berkaitan isu tertentu.
“Namun Akta 347 itu juga merangkumi penjelasan dalam Dewan Rakyat atau pun PSC. Tidak menjadi masalah mana satu terbaik, asalkan ahli Parlimen boleh bertanyakan sendiri kepada pegawai kerajaan yang dipanggil.
“Namun paling penting adalah ahli Parlimen boleh bertanya terus kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubung isu pemilikan saham syarikat membabitkan namanya,” katanya.
Kelmarin Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi pekeliling bertarikh 11 Januari lalu kepada sembilan ahli Parlimen menganggotai PSC bagi Agensi-Agensi di bawah
Jabatan Perdana Menteri berkata, satu mesyuarat diadakan pada 19 Januari ini berhubung isu pemilikan saham syarikat membabitkan Azam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun hadir pada sidang khas Parlimen tahun lalu bagi menjawab soalan dibangkitkan ahli Parlimen berkenaan ordinan diwartakan sepanjang tempoh penguatkuasaan Proklamasi Darurat.
Dalam pada itu, Khalid berpendapat, prosiding PSC pada minggu depan wajar disiarkan secara siaran langsung agar rakyat secara umumnya dapat mengetahui penjelasan isu membabitkan orang nombor satu SPRM tersebut.
Bagaimanapun kata beliau, penjelasan Azam kepada PSC dilihat masih tidak mencukupi sekiranya beliau masih memberikan penjelasan sama kepada Lembaga Perundingan Penasihat Rasuah (LPPR) sebelum ini.
“Perkara ini hanya boleh diselesaikan jika ada siasatan terperinci. Namun, PSC boleh memanggil mana-mana individu untuk memberikan penjelasan jika penerangan masih belum lengkap,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin mencadangkan supaya hasil penjelasan Azam pada PSC dikeluarkan dalam bentuk laporan.
Beliau yang juga Ahli PSC berkata, perkara itu amat penting supaya isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan dapat diketahui umum khususnya dalam kalangan rakyat.
“Berbanding sebelum ini, prosiding mesyuarat berlangsung dalam bentuk taklimat dan belum pernah mengeluarkan sebarang laporan. Lagipun PSC bagi agensi-agensi Jabatan Perdana Menteri baru sahaja ditubuhkan tahun lalu dan perlu ada ruang memperkasa peranannya,” kata beliau. – UTUSAN










