JASIN: Kerajaan negeri bersetuju memasang siren kecemasan di semua kawasan berisiko banjir bagi memberi peringatan kepada penduduk sekitar jika berlaku bencana itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, keutamaan pemasangan siren tersebut khusus di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk ramai dan kerap berlaku banjir.
Menurutnya, walaupun mempunyai 124 titik panas sering banjir di negeri ini, pemasangan siren tersebut dijangka dilakukan antara 10 hingga 24 lokasi berisiko, bukan sahaja tertumpu di bandar tetapi juga di luar bandar.
Beliau berkata, perkara tersebut telah dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam dan akan diselaraskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri serta Unit Kerajaan Tempatan (UKT) di bawah Jabatan Ketua Menteri.
“Jumlah kos keseluruhan pemasangan siren dan lokasi utama akan diputuskan tidak lama lagi. Kita tak pasang di semua tempat kerana ia melibatkan perbelanjaan yang tinggi.
“Yang pasti siren ini akan dipasang keutamaannya bagi kawasan rendah dan penduduk yang ramai. Apabila hujan kawasan ini mudah dilanda banjir dan ini yang akan diberi keutamaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya di Dewan Serbaguna Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (DUN) (Japerun) Bemban di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Pengerusi Penyelaras DUN Bemban, Datuk Hasan Rahman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron.
Sulaiman turut memaklumkan, kerajaan negeri telah bersetuju untuk mewartakan kawasan ternakan babi di Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah, sebagai kawasan wabak Demam Babi Afrika (ASF) dan akan dikawal ketat serta dipantau bagi mengelak penularan jangkitan.
“Tiada had tempoh pewartaan sebab kita tidak tahu bila penularan jangkitan ASF ini akan berakhir,” ujarnya.
Sabtu lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melupuskan sebanyak 1,864 ekor babi dari 16 ladang komersial di kawasan berkenaan yang disahkan positif ASF di Paya Mengkuang. – UTUSAN ONLINE










