MUKADIMAH
ISU harga ayam tidak akan selesai selagi tidak ada satu tindakan proaktif daripada kerajaan sendiri dengan kerjasama penternak dan pengguna.
Bermula Februari ini, harga siling ayam dijangka meningkat 20hingga 30 sen seekor. Harga siling telur ayam juga dijangka meningkat empat sen sebiji.
Ini disebabkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bagi harga siling ayam menyebabkan kerugian kepada golongan penternak termasuk pemborong dan peruncit.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, rakyat diminta bersedia dan perlu memahami kenaikan semula harga ayam melebihi RM9.10 sekilogram selepas SHMKM berakhir 4 Februari nanti.
Bagi mengulas isu tersebut, wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA menemu bual Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM),
DATUK MOHD. FIRDAUS ABDULLAH di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
UTUSAN: Tindakan boikot ayam, mampukah kawal harga pada masa depan?
MOHD. FIRDAUS: Pengguna di negara ini makan purata lebih daripada dua juta ekor ayam sehari dan lebih tiga juta telur ayam sehari. Industri ternakan ayam merupakan satu industri terbesar di negara kita untuk menampung keperluan bekalan ayam. Apabila penternak, pemborong, pengedar dan peruncit menaikkan harga barang sesuka hati mereka untuk mendapat untung besar, maka pengguna perlu menggunakan kuasa mereka di mana permintaan yang tinggi di pasaran sentiasa mendorong kepada kenaikan harga.
Boikot ayam oleh pengguna boleh menggugat dan melumpuhkan industri ayam. Untuk itu, sudah pasti penternak, pemborong, pengedar dan peruncit akan menurunkan harga dan menjual dengan kadar harga berpatutan tanpa mengaut keuntungan melampau bagi mengelak daripada kerugian dan lumpuhnya industri mereka.
Boikot ayam juga dapat memperbaiki indeks kesihatan rakyat Malaysia yang menduduki tempat pertama di Asia Tenggara bagi obesiti. Pengambilan makanan berasaskan ayam dalam kuantiti berlebihan menyebabkan masalah obesiti dan kolesterol kepada pengguna. Melalui boikot ayam dan mengurangkan pengambilan ayam boleh menjaga kesihatan pengguna itu sendiri.
Langkah untuk mengelak penternak atau pemborong menaikkan harga?
Apabila pengguna memboikot ayam, ini secara tidak langsung boleh menyebabkan terjadinya lambakan di pasaran dan akan memaksa penternak, pemborong, pengedar dan peruncit menurunkan harga ayam di pasaran daripada mengalami kerugian berterusan. Industri ayam terdiri daripada penternak, pemborong, pengedar atau orang tengah dan peruncit. Sistem rangkaian ini perlu dikekalkan supaya peluang pekerjaan bagi rakyat tidak terjejas.
Dedak ayam import menyebabkan harga ayam naik. Tidak bolehkah kita hasilkan dedak sendiri?
Kenaikan dedak ayam import adalah kerana pertukaran mata wang ringgit (RM) dan dolar Amerika Syarikat serta kos pengangkutan kapal, cukai dan faktor-faktor lain.
Negara kita seharusnya menceburi bidang penanaman bahan mentah seperti jagung secara berskala besar untuk menampung keperluan ternakan ayam. Ini bersesuaian dengan keadaan negara yang mana rata-rata memerlukan lebih dua juta ayam sehari dan sudah tentu kegunaan ini akan meningkat seiring waktu.
Kerajaan perlu tampil dengan satu langkah dalam industri pertanian di mana jagung untuk makanan ayam perlu dikeluarkan sendiri bagi kegunaan dalam negara. Pada masa sama, pihak jabatan dan kementerian berkenaan perlu melakukan kaji selidik tentang penggunaan dedak isirung sawit memandangkan Malaysia adalah pengeksport utama dunia. Kerajaan juga perlu tampil dengan pelan tindakan jangka panjang bagi pengeluaran makanan ternakan bukan sahaja ayam tetapi merangkumi kambing, lembu, ikan dan lain lain.
Dalam isu harga ayam ini, siapa harus dipersalahkan sebenarnya?
Bagi saya, kedua-dua pihak iaitu pengusaha dan pengguna perlu dipersalahkan kerana pengusaha lebih berorientasikan keuntungan tanpa mengambil peduli kebajikan pengguna dan tanggungjawab korporat mereka. Bagi pengguna sendiri, mereka tidak peka akan keadaan sekeliling dan tidak menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna di mana mereka tidak bertindak secara bijak ketika berlaku kenaikan harga ayam dan pada masa sama, tidak mengambil berat isu kesihatan diri sendiri.
Pengambilan ayam dan makanan proses ayam seperti daging burger, sosej, nuget dan yang paling popular, sate dan kepak madu menyebabkan pengguna bertindak mengikut nafsu semasa membeli. Jika pengguna merancang dan menurunkan pengambilan makanan berasaskan ayam dan pada masa sama memboikot, harga ayam akan turun dengan sendiri mengikut permintaan di pasaran.
Bolehkah isu harga ayam ini selesai? Atau akan terus berlaku?
Kerajaan boleh membawa idea-idea baharu melalui kementerian atau jabatan kerajaan yang berkaitan dengan industri ayam di mana boleh diperkenalkan pelbagai insentif baharu kepada penternak ayam. Kerajaan juga boleh mewujudkan syarikat milik kerajaan untuk melabur dalam industri tanaman bahan mentah seperti jagung dan ubi kayu bagi ternakan ayam. Pada masa sama boleh mengimport dedak dan bekalkan dengan harga yang murah kepada penternak untuk menghasilkan ayam berkualiti dan murah pada masa hadapan.
Pada masa sama juga, kerajaan boleh melancarkan kempen pelihara ayam dalam kalangan rakyat di tempat-tempat bersesuaian seperti kawasan luar bandar, kelompok komuniti untuk memelihara ayam kampung, ayam daging. Kerajaan juga boleh memberi pelbagai subsidi dan insentif berupa anak ayam dan sebagainya. Apabila orang ramai sudah mula berminat untuk menternak ayam sendiri dan mampu mengeluarkan hasil secara sendiri, sudah tentu kebergantungan terhadap ayam daging di pasaran akan menurun dan ini akan menstabilkan harga ayam di pasaran.










