Saya pun boleh mohon perkenan menghadap Agong - Tok Mat - Utusan Malaysia

Saya pun boleh mohon perkenan menghadap Agong – Tok Mat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: UMNO mengambil sikap tenang di sebalik dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada apa tekanan pada pihak UMNO mengenai dakwaan Presiden PKR itu, malah UMNO lebih berminat memberi tumpuan kepada isu penularan pandemik Covid-19.

“Saya pun tidak tahu apa langkah dan cubaan beliau. Jumpa Yang di-Pertuan Agong itu biasa sebagai rakyat, saya juga boleh memohon untuk menghadap Seri Paduka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini mendakwa akan turut mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya semasa menghadap Al-Sultan Abdullah.

Sementara itu, jelas Mohamad, tiada apa yang boleh diberikan komen mengenai dakwaan Anwar tersebut sebaliknya semua pihak perlu menunggu hasil pertemuan semalam.

“Kita tunggulah, apabila beliau sudah dan sudah diberitahu, barulah boleh komen, cuma sekarang ini, kita nak komen apa? Kita tak tahu apa-apa pun.

“Cuma UMNO tiada apa-apa, UMNO relaks sahaja. UMNO fokus memperkasakan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tiada apa-apa, kami sudah ‘settle down’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berpandangan, tidak sesuai untuk PRU-15 diadakan pada waktu terdekat ketika bilangan pesakit Covid-19 terus meningkat.

“Tak boleh, tak boleh adakan pilihan raya sekarang, itu akan memperjudikan kesihatan dan keselamatan rakyat. Apa sudah jadi kepada Sabah?

“Jangan disebabkan dengan sikap tamak, berebut kuasa, benci dan marah serta terlalu mahu berkuasa kita mendedahkan pula rakyat kepada isu keselamatan dan kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×