SERI KEMBANGAN: Hampir 20 tahun, kira-kira 10,000 penduduk Taman Lestari Putra di sini terpaksa menggunakan jalan jauh setiap kali mahu menghantar anak ke sekolah berikutan hanya terdapat satu jalan keluar dari kawasan perumahan ke jalan besar.
Lebih mendukacitakan, mereka perlu menghadapi kesesakan lalu lintas teruk pada setiap pagi apatah lagi perlu bersaing dengan mereka yang ingin keluar bekerja pada waktu serentak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lestari Putra (PPLEP), Datuk Abdul Wahab Khalid berkata, pada asalnya, pembinaan jalan keluar terus ke Sekolah Kebangsaan Taman Desaminium dan Sekolah Menengah Taman Desaminium terdapat dalam pelan pembangunan kawasan perumahan di sini yang hanya berjarak 800 meter.
Malangnya, ketiadaan jalan keluar itu menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan jalan jauh sehingga enam kilometer, ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas mengakibatkan masa perjalanan boleh mencecah sehingga 45 minit pada waktu puncak.
“Sudahlah kawasan sini hanya ada dua sekolah terdekat, menyebabkan semua penduduk hantar anak sekolah menggunakan jalan yang satu sahaja, terpaksa pula bersaing dengan mereka yang ingin keluar bekerja.
“Sepatutnya ada satu lagi jalan keluar terus ke sekolah iaitu dari LEP 5 terus ke Taman Desaminium. Tetapi tidak dibina sampai sekarang. Kalau ada tambahan jalan ini sudah tentu kesesakan kurang dan pelajar pun lebih mudah untuk ke sekolah, boleh pergi dengan basikal sahaja,” katanya di sini baru-baru ini.
Terdahulu, beliau bersama-sama kira-kira 50 penduduk LEP mengadakan perhimpunan aman bagi memohon pihak berwajib segera membina jalan sambungan ke Taman Desaminium.
Memorandum desakan itu diserahkan kepada Pembantu Ahli Majlis Zon 19, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Mohd. Hazril Harun supaya sebarang projek pembangunan baharu yang bakal dibina di kawasan itu perlu mengutamakan pembinaan jalan tersebut terlebih dahulu sebelum sesuatu projek diluluskan.
Menurut Abdul Wahab, masalah tersebut sudah banyak kali dibangkitkan kepada pihak berkuasa tempatan melalui wakil rakyat di sini, tetapi belum nampak jalan penyelesaiannya.
Namun beliau difahamkan, pembinaan jalan itu tidak dapat dilaksanakan kerana memerlukan perbelanjaan tinggi kerana terdapat lurah besar yang perlu ‘ditutup’ sama ada menggunakan tanah yang banyak atau membina jambatan.
Justeru katanya, beliau meminta pihak berwajib untuk datang membuat tinjauan sekurang-kurangnya sebagai satu usaha menyelesaikan masalah penduduk dan bukannya menunggu ketika pilihan raya bagi meraih undi.
“Kawasan perumahan di sini sepatutnya ada lima akses jalan keluar, tetapi sampai sekarang sejak 20 tahun tidak dilaksanakan jalan-jalan tersebut. Sekarang ini pembinaan kediaman semakin banyak ditambah pula terdapat dua apartmen dan kondominium baharu selain pembinaan MRT.
“Jadi sampai bila penduduk perlu menderita kerana ketiadaan akses keluar masuk lebih mudah. Untuk langkah segera kami minta jalan keluar ke sekolah ini dibina terlebih dahulu. Kasihanilah anak-anak terpaksa bangun awal pagi ke sekolah risau lewat sampai,” katanya.
Seorang penduduk yang paling lama menetap di sini, Abu Bakar Long, 74, berkata, hampir 20 tahun penduduk di sini masih menggunakan jalan akses keluar yang satu, sedangkan penduduk makin bertambah dan kawasan sekitar berkembang pesat.
“Jadi kami memohon pihak berkuasa segera meluluskan pembinaan jalan di sini bagi kemudahan anak-anak ke sekolah, selalu lewat sampai kerana kesesakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










