ALAM sekitar perbandaran dan pembangunan negara mempunyai hubungan sangat rapat. Saya lama tidak menulis tentang isu ini.
Perkembangan sejak seminggu lalu dengan banjir besar di beberapa negeri khususnya di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang membuka mata hati saya untuk menyingkap sesuatu. Isu yang berlaku mempunyai hubungan rapat dengan ijazah pertama saya iaitu bidang sains pembangunan dengan pengkhususan dalam Pengajian Bandar dan Desa.
Pembangunan adalah istilah besar bukan hanya sekadar membina banyak bangunan tinggi mencakar langit dan jalan raya serta jaringan pengangkutan yang besar dan meluas. Pembangunan bukan hanya bersifat fizikal yang dapat dilihat tetapi lebih jauh daripada itu adalah roh yang tidak terpisah oleh hakikat manusia dan kemanusiaan serta hubungan dengan alam dan persekitaran.
Pembangunan rakus tidak berpaksikan keikhlasan dan kejujuran mutlak serta mengetepikan hubungan seimbang dengan alam akan membawa kehancuran. Idea yang dikemukakan oleh pengasas dan dekan pertama Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Allahyarham Profesor H.M. Dahlan pada pertengahan 1980-an adalah asas falsafah besar yang agak mendahului zaman.
Penubuhan Fakulti Sains Pembangunan di UKM berasaskan tiga program iaitu Pengajian Desa Bandar, Geografi Perancangan dan Ekonomi Pengurusan (Program Politik dan Pentadbiran juga dirancang sebagai sebuah program tapi tidak dapat dilaksanakan oleh sebab-sebab tertentu) adalah gabungan pemikiran dan idea penting dalam proses pembangunan. Perancangan fizikal tanpa mengetepikan keperluan dan keseimbangan alam dan faktor ekonomi dan kewangan adalah penting. Walaupun begitu, keseimbangan adalah sangat penting dalam membentuk proses perbandaran dan pembangunan seimbang dalam tempoh jangka panjang.
P
embangunan yang menjamin kehidupan harmoni tidak membawa ancaman dan kemusnahan hidup dan alam sekitar seimbang. Tidak ada maknanya perbandaran pesat berlaku, ekonomi melonjak berkembang tetapi membawa kemusnahan alam sekitar serta ekologi kehidupan terancam.
Hubungan proses dan keputusan pembangunan dengan alam sekitar adalah sangat penting. Dalam hal ini, pembangunan mesti diteruskan tetapi pada masa sama keseimbangan alam sekitar tidak sekali-kali boleh diketepikan. Faktor ekonomi juga tetap penting dan mesti diambil kira.
Sebagai contoh, saliran dan sungai adalah penting dalam keharmonian kehidupan kawasan bandar besar. Adakah sungai yang mengalir di kawasan bandar benar-benar dirancang serta betul-betul diberi perhatian? Adakah semua perancang bandar benar-benar memahami fungsi sungai dan pentingnya sebagai suatu ‘yang hidup’?
Daripada pemerhatian saya, kepentingan sungai telah banyak ‘digadai’ demi kepentingan ekonomi dan nilai harga serta guna tanah kawasan bandar besar. Seakan-akan ada kekhilafan antara kepentingan sungai sebenar dan keputusan diambil oleh pegawai perancang bandar dan pihak berkuasa.
GREAT BRITAIN
Sungai di kawasan bandar seolah-olah tidak dilihat sebagai suatu yang hidup dan benar-benar penting dalam keharmonian kehidupan. Ia kadang-kadang dilihat sebagai suatu yang mati (dikonkrit kiri kanan dan tiada ‘jajahan sungai’ atau dataran banjir). Hakikatnya, sungai adalah suatu yang hidup tetapi kadang-kadang dinafikan.
Falsafah asas perancangan Great Britain yang menetapkan jarak 300 ela dari gigi air sungai adalah perlu. Sungai akan membesar dan berkembang mengikut masa.
Andainya pembesaran dan ‘kebebasan’ kehidupannya disekat, sungai akan memberontak.
Hal ini sedang berlaku di kebanyakan sungai utama yang mengalir di kawasan bandar besar. Oleh kerana kos tanah yang mahal dan berharga di kawasan bandar besar, kawasan jajahan sungai (dataran banjir) tidak diwujudkan atau diwujudkan dalam skala kecil yang tidak sesuai dan tidak sepatutnya.
Dalam keadaan biasa, ia tidak menimbulkan masalah tetapi dalam tempoh jangka panjang khususnya musim hujan lebat akan menimbulkan masalah besar. Air sungai akan melimpah ketika hujan lebat. Ketika inilah kawasan jajahan sungai atau dataran banjir mempunyai fungsi sangat penting.
Walaupun kos tanah yang mahal, penyediaan kawasan jajahan sungai sangat penting dan amat perlu bagi ‘kesihatan’ dan kehidupan sungai. Hukum alam tidak boleh dilanggar dengan mudah.
Manusia perlu berhubung dengan hukum alam. Dalam hal ini, manusia (khususnya pegawai perancangan dan pengurusan bandar) mesti memahami sifat dan fungsi serta hakikat sungai sebagai suatu yang hidup.
Kegagalan memahami fungsi dan hakikat kejadian sungai akan menimbulkan masalah besar dan malapetaka kepada kehidupan manusia khususnya yang tinggal di bandar utama dan kawasan sekitarnya. Keseimbangan antara kepentingan ekonomi dan alam sekitar perlu ada dan keputusan benar-benar tepat adalah suatu yang mesti dalam membentuk keharmonian kehidupan jangka panjang. Sifat rakus hanya mementingkan ekonomi semata-mata tanpa melihat kepentingan keseluruhan dalam jangka panjang akan memusnahkan kehidupan sebenar.
Dalam merancang pembangunan teratur dan terjamin, terbentuknya keseimbangan dengan alam sekitar adalah perlu kerjasama dan perbincangan dengan banyak pihak terlibat. Pihak berkuasa peringkat kerajaan tempatan, negeri dan Persekutuan perlu bekerjasama dalam membuat sebarang keputusan.
Tidak terkecuali ahli akademik, orang awam dan seluruh warganegara perlu sama-sama menggembeleng tenaga bagai membina sebuah pembangunan yang baik, seimbang dalam jangka panjang. Proses pembangunan, luar bandar dan bandar, jangka panjang dan jangka pendek perlu dilihat secara menyeluruh.
Ia tidak dilihat sebagai isu semasa apabila berlaku bencana tetapi suatu proses berterusan, mencari jalan membina pembangunan yang mantap, seimbang tanpa merosak alam sekitar dan tidak juga mengetepikan kepentingan fizikal dan ekonomi. Sebarang proses dan tindakan pembangunan adalah tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi bekerjasama mencari titik tengah yang positif, membina pembangunan berterusan tanpa memusnahkan alam.
Keseimbangan terjamin, ekonomi berkembang, harmoni terbina.
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.










