Azam: Perlu atau hanya ikut trend? - Utusan Malaysia

Azam: Perlu atau hanya ikut trend?

AZAM baharu dapat memperbaiki kesilapan lalu dan mengurus kehidupan akan datang dengan lebih baik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Azam tahun lepas sudah terlaksana atau belum? Bagaimana dengan azam tahun baru? Sudah ada perancangan terkini mengenainya? Sejauh mana azam dapat ditunaikan atau ia sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja?

Seri mendapatkan Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Sofia Hayati Yusoff mengupas mengenai azam.

SERI: Mengapa perlu ada azam setiap kali tiba tahun baharu?

Azam itu tidak semestinya ditanam hanya pada ketibaan setiap tahun baharu kerana setiap hari, setiap bulan, tahun kita seharusnya menanam azam untuk menjadi lebih baik daripada sebelum. Walaubagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan jika memilih untuk memperbaharui azam apabila tiba tahun baharu. Kalau mampu merealisasikan misi kita, ia adalah lebih baik daripada menanam azam setiap hari tetapi tidak pernah berjaya melaksanakannya.

Tiada azam maka tiada masa depan?

Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 159 menjelaskan mengenai azam baharu adalah dituntut Islam malah Rasulullah SAW juga dalam banyak hadis sahih, Baginda bercakap mengenai azam baharu.
Bezanya, Islam tidak meletakkan azam itu ditanam setiap awal tahun sahaja tetapi ia perlu dijadikan azam harian. Justeru bagi mereka yang tidak mempunyai azam sememangnya tergolong dalam kalangan mereka rugi kerana tidak ada sasaran dalam hidup dan tidak bermuhasabah memperbaiki kelemahan dan kekurangan sebelum ini. Apabila meletakkan suatu azam, secara tidak langsung kita akan menyusun strategi dan sasaran demi mencapai objektif dan merealisasikan azam tersebut.

Bagaimana mengekalkan azam?

Letakkan sasaran tertentu dalam mencapai misi azam. Pastikan ada sesi post-mortem atau muhasabah selepas berjaya mencapai setiap sasaran. Wujudkan rutin atau kebiasaan bagi merealisasikan azam. Contoh dalam menurunkan berat badan, carikan individu boleh anda jadikan inspirasi.
Elakkan melakukannya melebihi kemampuan diri kerana ia akan membuatkan diri burn out dan akhirnya akan menyerah kalah.

Kalau gagal, apakah solusinya?

Kegagalan hanyalah persepsi. Sekalipun mungkin tidak dapat mencapai sasaran sebenar dalam melaksanakan azam yang ditanam, lihat gambaran lebih luas (bigger picture). Perjalanan dalam mencapai sasaran azam itu adalah pengalaman paling berharga yang menjadikan kita insan yang lebih baik.

Tips istiqamah?

Komited dan jadikan ia sebagai rutin harian. Biarlah azam itu kecil dan sedikit, tetapi usahakan secara berterusan. Di sinilah kita dapat beristiqamah dengan azam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×