PETALING JAYA: Negara bakal mengulangi sejarah musibah banjir besar seperti yang pernah berlaku pada 1971 berikutan perubahan iklim dunia yang kini mengubah peralihan cuaca dan mengganggu ekosistem alam sekitar.
Sehubungan itu, semua pihak perlu bersedia untuk ‘hidup’ dengan bencana alam yang dijangka berlaku pada bila-bila masa sekali gus bakal mengulangi episod banjir besar yang melanda Lembah Klang baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata, selain negeri-negeri pantai timur, kawasan pantai barat seperti Selangor dan Kuala Lumpur berisiko tinggi dilanda banjir besar pada bila-bila masa akibat ketidaktentuan cuaca yang turut berpunca daripada pencemaran.
Justeru, beliau menambah, taburan hujan lebat sebulan di Lembah Klang yang turun dalam tempoh 48 jam sehingga mengakibatkan banjir besar secara tidak langsung membuka mata semua pihak untuk melakukan persediaan rapi dalam mendepani musibah alam khususnya membabitkan rancangan pembangunan sistem perparitan untuk tempoh masa akan datang.
“Kita tidak boleh lagi membina longkang yang berupaya menampung taburan hujan pada masa lalu memandangkan situasi kini sudah berubah.
“Jadi, masyarakat perlu hidup dengan bencana alam dan bersedia 24 jam sebarang kemungkinan bakal berlaku termasuk banjir besar. Jika dahulu berlaku di negeri-negeri pantai timur, kali ini pula di pantai barat,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Helmi memberitahu, perubahan iklim hari ini adalah akibat sikap manusia sendiri yang mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar termasuk melakukan pembangunan tidak terancang serta membuang sampah sewenang-wenangnya.
Jelas beliau lagi, pemanasan global dan pembebasan gas karbon dioksida secara berleluasa menjadi punca utama berlakunya kesan rumah hijau yang mempengaruhi perubahan iklim.
“Kita perlu sedar bahawa kealpaan menjaga alam sekitar adalah punca bencana alam dan mempengaruhi hujan lebat yang sukar dijangka,” katanya.
Katanya, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi bencana alam sama ada daripada sentiasa memantau perkembangan ramalan cuaca dan berpindah sekiranya berhadapan musibah bencana alam yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Katanya, mereka perlu mengambil contoh rakyat Jepun dan Australia dalam menghadapi bencana alam apabila tidak lagi bergantung kepada arahan pihak berkuasa untuk bertindak. -UTUSAN







