Kadar harga makanan tambahan murid perlu dinaikan - Utusan Malaysia

Kadar harga makanan tambahan murid perlu dinaikan

Harga makanan tambahan bagi setiap murid sekolah wajar dinaikkan.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

: Harga makanan tambahan murid perlu dinaikan

BADRUL HAFIZAN MAT ISA /imran
[email protected]

SEREMBAN: Kadar pemberian Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada murid-murid sekolah rendah yang ditetapkan pada harga RM2.50 di semenanjung manakala RM3 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan perlu dinaikkan.

Gesaan itu disuarakan pengusaha-pengusaha kantin sekolah yang menyifatkan kadar berkenaan sudah tidak relevan terutama ketika harga barangan mentah terus meningkat.

Menurut mereka, selepas tujuh tahun kadar tersebut tidak berubah, sudah tiba waktunya ia dikaji semula dan dinaikkan mungkin RM5 bagi setiap murid atau sekurang-kurangnyaRM3.50.

Seorang pengusaha kantin di daerah ini, Mohd. Yusri Jaafar, 47, berkata, dengan harga barangan mentah seperti ayam dan sayur-sayuran yang semakin tidak munasabah, kadar RM2.50 tersebut sememangnya sudah tidak lagi berbaloi kepada pengusaha kantin yang menyediakan makanan tambahan tersebut.

“Pada harga RM2.50 itu, pengusaha kantin perlu menyediakan satu menu hidangan lengkap seperti nasi ayam atau nasi lemak ayam bersama minuman seperti air mineral ataupun air coklat mengikut menu dan sepotong buah-buahan seperti epal dan jambu.

“Menu yang disediakan tersebut sepatutnya pada harga RM3.50 sekurang-kurangnya. Sebelum kebanyakan pengusaha kantin banyak yang beralah namun dalam keadaan sekarang, kami mohon pihak sekolah dan kerajaan untuk membantu kami dengan menaikkan kadar RMT” katanya kepada Utusan Malaysia.

RMT dikelola, diselia dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan bermula tahun 1979 yang bertujuan memberi makanan tambahan kepada murid-murid sekolah rendah, terutamanya dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan.

Tempoh pelaksanaan RMT adalah tidak melebihi 190 hari persekolahan dengan peruntukan sebanyak RM2.50 bagi seorang murid sehari di Semenanjung Malaysia dan RM3 bagi seorang murid sehari di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md. Desa berkata, pihaknya mencadangkan agar kadar baharu RMT dinaikkan antara RM4 hingga RM5 bagi setiap murid.

“Pada harga RM2.50 ia bukan sahaja menyebabkan pengusaha kantin sekolah tidak dapat menampung harga barangan mentah yang sedang meningkat malah ia juga menyebabkan murid-murid tidak mendapat khasiat mencukupi pada kadar tersebut.

“Mungkin sayur yang dihidangkan akan menjadi sedikit atau jenis sayur yang digunakan juga merupakan mungkin lebih murah berbanding brokoli dan salad. Potongan ayam juga mungkin lebih kecil, langkah ini terpaksa dilakukan oleh pengusaha kantin sekolah bagi menghadapi situasi kenaikan harga barang ketika ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×