Program ‘Yuri Gagarin’ negara berkubur - Utusan Malaysia

Program ‘Yuri Gagarin’ negara berkubur

Gambar kenangan Dr. Faiz Khaleed bersama Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Angkasawan Negara yang bermula pada 2006 terus menyepi selepas kejayaan negara menghantar Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Selepas 14 tahun berlalu, tiada satu pun perkhabaran mengenainya, terutama perancangan untuk melakukan misi kedua, yang membuatkan ramai pihak membuat pelbagai persepsi.

Biarpun ada ura-ura mengatakan negara bakal menggerakkan misi kedua ke ISS, ia terus menjadi tanda tanya.

‘Sudah berkubur’. Itu per­sepsi orang ramai terhadap program tersebut.

Bagaimanapun, angkasawan negara yang sepatutnya meneruskan misi kedua ke ISS itu, Dr. Faiz Khaleed berkata, selepas Program Angkasawan Negara pada 2006, beliau menu­buhkan Persatuan Astronautik Malaysia (AstroX) untuk 59 finalis akhir program tersebut.

Beliau berkata, sememang­nya banyak yang dilakukan untuk mengembangkan industri angkasa, namun ia tidak diketahui oleh masyarakat umum.

Katanya, pelbagai aktiviti dilakukan bertujuan untuk mengetengahkan bidang aero­angkasa kepada murid-murid sekolah.

“Kami melakukan banyak aktiviti seperti bengkel roket, menerbitkan dua buku, me­lancarkan kelab astronautik seluruh Malaysia, Venus Run dan lain-lain.

“Dengan permintaan yang tinggi, GoSTEM ditubuhkan pada 2016 untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti pemba­ngunan program dan pameran pendidikan berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Dr. Faiz, pihaknya juga menubuhkan Konsortium Spacevio untuk memajukan dan mengembangkan lagi industri aeroangkasa.

“Kami juga menganjurkan Minggu Angkasa Sedunia yang terbesar di Malaysia pada tahun lepas dan tahun ini kami menerajui syarikat-syarikat industri angkasa dan aeroangkasa dengan Kesatuan Eropah seperti Czech Space Alliance dan Moravian Aerocluster.

“Perkembangan ini amat pesat dengan Konsortium Spacevio yang sedang berkembang melebihi 18 organisasi dan juga 15 sukarelawan yang terdiri daripada tenaga muda, graduan dan pelajar universiti. Saya percaya industri angkasa akan berkembang dengan cepat di Malaysia,” jelasnya.

Tambah beliau, negara juga sepatutnya sudah bersedia kera­na memajukan industri ang­kasa akan menyiapkan roket Malaysia sendiri dan menghantar angkasawan seterusnya dalam masa yang terdekat.

“Independence-X akan me­lancarkan roket Malaysia insya-Allah tahun depan, tetapi dari segi komersial pelancaran satelit-satelit buat masa ini diketengahkan oleh syarikat seperti Angkasa-X dan Serba Dinamik.

“InsyaAllah apabila pelancaran roket dikomersialkan seperti di Amerika Syarikat seperti SpaceX, Blue Origin dan Virgin Galactic, maka mungkin dalam masa 10 ke 15 tahun lagi Malaysia akan mengkomersialkan roket sendiri jika ada keperluan untuk menghantar angkasawan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×