Parti Semenanjung sukar menang - Utusan Malaysia

Parti Semenanjung sukar menang

TANPA jentera pilihan raya yang tersusun, sukar bagi calon-calon Bebas untuk berkempen dengan berkesan bagi memenangi hati pengundi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bukan sahaja Barisan Nasional (BN) malah parti-parti Semenanjung kemungkinan bakal tewas di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 18 Disember ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir berkata, berdasarkan kajian dilakukan pihaknya terhadap 10,000 pengundi Sarawak, 92 peratus menolak kehadiran UMNO dan BN di negeri itu.

Malah, beliau berpandangan, parti-parti lain seperti PKR, Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) turut berdepan laluan sukar dan tidak menolak kemungkinan tewas teruk dalam pilihan raya tersebut.

“Kalau UMNO sukar diterima, apa lagi MCA kerana pengundi kaum itu masih menyokong DAP. Nasib yang sama boleh berlaku kepada parti pembangkang seperti PKR yang kini dilanda masalah dalaman,” katanya.

Kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRN Sarawak pada 18 Disember ini dengan tarikh penamaan pada 6 Disember manakala hari pengundian awal pada 14 Disember.

Jeniri menambah, BN dite­rima pengundi Sarawak ketika PRN ke-10 kerana mereka bertanding menggunakan ke­kuatan parti-parti tempatan.

“Situasi kali ini berbeza apabila parti-parti itu keluar BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jadi BN tiada kekuatan. Ketika PRN lalu, parti-parti tempatan seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) me­rupakan komponen BN, jadi tiada masalah,’’ katanya.

Penganalisis dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr. Jayum Jawan Empaling pula berkata, BN boleh mencuba nasib namun mereka sudah pasti tidak akan berjaya kerana tidak mempunyai kekuatan di Sarawak.

“BN tiada komponen tempatan seperti mana sebelum 2018 apabila kini parti-parti keluar dan menubuhkan gagasan baharu,” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pene­rangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, keputusan sama ada Pas akan bertanding dalam PRN Sarawak termasuk menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) sedang diteliti Jawatankuasa Pas Pusat.

Ketika PRN Sarawak pada 2016, Pas mempertaruhkan calon di 11 kerusi, namun gagal menang di semua kawasan ditandingi.

Sebelas kerusi DUN berkenaan adalah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×