JASIN : Gara-gara bimbang dikompaun, Datuk Seri Anwar Ibrahim beredar lebih awal ketika singgah makan bersama seorang calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pada mulanya, Pengerusi PH itu dijadual mengadakan sidang akhbar sejurus pertemuan bersama calon tersebut.
Sebaliknya Anwar menjelaskan, beliau terpaksa pulang lebih awal kerana bimbang dikompaun.
“Maaf saya terpaksa pulang kerana bimbang dikompaun,” katanya ringkas sebelum beredar dengan menaiki kereta beliau.
Terdahulu, Anwar bersama para pemimpin PH singgah seketika di sebuah gerai di Felda Tun Ghaffar, Kampung Kemendor untuk singgah makan bersama calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Prasanth Kumar.
Situasi sama juga berlaku kepada Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang memberikan alasan sama kerana khuatir dikompaun seperti dialami beberapa pemimpin politik lain.
“Saya tidak kaya, jadi kena balik,” jelasnya.
Di SHAH ALAM: Anwar mendakwa media arus perdana negara ini masih meminggirkan suara pembangkang apabila tidak memberikan ruang yang cukup kepada parti lain terutama PH untuk muncul terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.
“Media baharu seperti media sosial memang tidak dinafikan tertumpu kepada PH.
“Namun media utama yang dikuasai kerajaan, walaupun mereka menyebut ada, akan memberi ruang tetapi belum berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Townhall Undi18 di Bangunan SUK di sini semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, kempen PRN Melaka berlangsung hampir seminggu namun tiada perubahan dari segi dasar kerajaan untuk pembangkang berkempen di media utama. – UTUSAN ONLINE










