Malulah sikit apabila diberi gelaran katak - Utusan Malaysia

Malulah sikit apabila diberi gelaran katak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU tanya saya parti mana akan dipilih? Saya tunggu dan lihat sahaja kerana masih memerhati pihak manakah yang sesuai untuk memimpin Melaka.” Itu kata seorang peniaga di Melaka, Mohamad Khairul Anwar, 28,ketika ditanya siapa yang menjadi pilihannya untuk diangkat sebagai kerajaan negeri.
Jawapan itu memberi gambaran seolah-olah sebahagian pengundi di Melaka belum pasti siapa yang akan mereka pilih untuk diangkat mentadbir negeri itu.
Walaupun ada tiga pakatan yang boleh dipilih – Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) – Nampaknya penduduk negeri itu berhati-hati dalam memberikan mandat kali ini.
Ini supaya mandat yang diberikan itu tidak dimain-mainkan seperti mana sebelum ini semata-mata untuk memenuhi nafsu politik kumpulan tertentu.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), walaupun tipis, mandat yang diberikan oleh rakyat adalah kepada PH – kombinasi PKR, DAP dan Amanah. Namun kerajaan PH pilihan rakyat itu tumbang apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee berpaling tadah memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Lompatan daripada dua ADUN itu membolehkan BN dan PN bergabung membentuk kerajaan negeri baharu dengan ADUN dari UMNO diangkat sebagai Ketua Menteri.
Kisah lompatan pemimpin politik di Melaka tidak berhenti di situ sahaja apabila pada 4 Oktober lalu, empat orang ADUN bertindak menarik balik sokongan kepada PN yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Berdasarkan kepada senario yang membawa kepada PRN ini, pilihan pengundi Melaka sudah tentulah kepada kumpulan yang paling kurang memberikan masalah kepada mereka. Kumpulan yang mampu menunaikan janji dan mengatasi isu-isu yang membelenggu mereka.
Tetapi, wujudkan kumpulan yang diimpikan oleh penduduk Melaka itu? Pada awalnya PH dilihat mampu kembali membentuk kerajaan negeri. Tetapi mereka dikatakan silap apabila menamakan calon yang berpaling tadah iaitu Datuk Seri Idris Haron di DUN Asahan dan Datuk Nor Azman Hassan yang bertanding atas tiket Amanah di DUN Pantai Kundor.
Tindakan ini menampakkan PH seolah meludah ke langit kerana sebelum ini mereka terutama DAP mengkritik keras tindakan ahli-ahli politik ‘katak’ yang telah menumbangkan kerajaan PH ekoran Langkah Sheraton.
Tindakan PH itu dilihat sebagai tidak berprinsip apabila sanggup mengetepikan orang dalam parti sendiri semata-mata mahu memberikan laluan kepada Idris dan Nor Azman.
Malah penduduk juga dikatakan kecewa dengan tindak-tanduk PH sepanjang menjadi kerajaan termasuk kegagalan menyelesaikan isu banjir yang menjadi masalah besar kepada penduduk Melaka.
Kekurangan yang ada pada PH itu dikatakan memberi kelebihan kepada BN berbanding PN. Ini berdasarkan sebelum DUN dibubarkan rakyat Melaka mula cenderung kepada BN berdasarkan kepada rekod-rekod parti itu dalam membangunkan Melaka sebelum ini.
Namun tindakan Idris dan Nor Azman sedikit sebanyak telah mencalarkan keyakinan rakyat terhadap BN kerana ia memberi gambaran bahawa pemimpin parti itu tidak boleh dipercayai, tidak berprinsip dan boleh melompat pada bila-bila masa yang mana jika itu berlaku maka mandat rakyat hanya sia-sia.
Tetapi jika dilihat secara rasionalnya, tindakan Idris dan Nor Azman itu lebih bersifat peribadi atau individu. Ia bukan membabitkan polisi parti. Mungkin itu boleh dijadikan sedikit pertimbangan kepada parti. Pemimpin yang tidak berprinsip itu kini bersama PH. Dan tindakan PH melanggar prinsip sendiri dengan meletakkan pemimpin yang dilabelkan ‘katak’ sebagai calon mereka mungkin lebih sukar untuk diterima.
Apakah ini akan memberi pilihan kepada PN untuk dipilih rakyat? Semuanya bergantung kepada keupayaan calon pakatan itu untuk menyakinkan rakyat. Majoriti nama yang diangkat untuk membawa cabaran PN adalah calon bidan terjun yang tidak dikenali oleh pengundi.
Hanya dua calon PN sahaja yang namanya biasa didengar oleh pengundi Melaka iaitu Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin yang bertanding di DUN Tanjung Bidara dan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.
Sebab itu kalau tengok ketika kempen ini, PN banyak menaikkan poster Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menarik sokongan pengundi. Malah mereka turut membangkitkan nostalgia ‘Abah’ bagi memikat hati penduduk memilih calon dari pakatan itu. Tetapi masih ada lagikah aura ‘Abah’ itu untuk menarik sokongan pengundi?
Yang jelas pengundi Melaka tidak mempunyai pilihan. Mereka perlu memilih antara BN, PN dan PH. Memang ada calon bebas, tetapi mereka sekadar bertanding untuk kepuasan sendiri. Jika menang sekali pun, mereka perlu bersekongkol dengan pakatan-pakatan sedia ada jika mahu memberikan khidmat yang efektif kepada rakyat.
Ada pandangan yang mengatakan ini masanya untuk rakyat Melaka kembali memberikan mandat kepada BN. Alasan mereka ialah supaya melengkapkan satu kitaran.
Kata mereka, sejak PRU14, PH sudah dan PN pun sudah mentadbir Melaka. Jadi, kali ini berilah kepada BN pula dengan harapan apabila kitaran itu lengkap maka pengundi juga akan mendapat kerajaan yang lebih mantap.
“Apabila BN kalah, kuasa diberikan kepada PH, selepas itu PN ambil alih melalui pintu belakang. Itu pun tumbang juga. Jadi, apa kata kali ini kembalikan kepada BN supaya lengkap satu kitaran sebelum kita menuju PRU15.” Itu pandangan seorang pemerhati politik Melaka.
Apapun, keputusan adalah di tangan pengundi-pengundi Melaka yang akan memangkah kertas undi pada 20 November ini. Siapapun yang bakal diberikan mandat selepas ini jagalah amanah rakyat itu dengan baik. Jadilah pemimpin politik yang berprinsip dan berintegriti. Malulah sikit apabila digelar katak.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×