PETALING JAYA: Manifesto melibatkan penggubalan undang-undang antilompat parti dilihat menjadi umpan besar bagi memancing pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata, manifesto Pakatan Harapan (PH) itu dilihat realistik untuk menarik pengundi.
“PH mahu melakukan pembaharuan dengan menggubal enakmen antilompat parti dan tawaran itu dilihat realistik kerana ia sesuatu yang dimahukan pengundi hari ini.
“Mereka juga tawarkan untuk ketua pembangkang bertaraf Exco dan peruntukan sama rata antara wakil rakyat. Ini boleh dibuat dan menunjukkan keazaman politik mereka,” katanya.
Katanya, manifesto Barisan Nasional (BN) berhubung pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tambahan dalam kalangan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mampu menarik pengundi.
Namun, kata Mazlan, pengundi tidak hanya menilai manifesto yang ditawarkan, sebaliknya menilai keupayaan setiap parti yang bertanding sama ada BN, PH mahupun Perikatan Nasional (PH).
“Pengundi menilai rekod pencapaian parti yang bertanding di Melaka seperti BN yang lama menjadi kerajaan dahulu, PH selama 22 bulan serta PN mendukung kerajaan Persekutuan.
“Melaka masih ramai penyokong BN, ada peluang untuk mereka menang tetapi tidaklah sehingga membentuk kerajaan dua pertiga. Tiga penjuru memberi kelebihan kepada PH sebab undi Melayu pecah. Undi bukan Melayu kekal kepada PH dan sebab itu tiada sesiapa yang akan dapat majoriti mudah,” katanya. -UTUSAN











