MUKADIMAH
KERAJAAN menetapkan pelaksanaan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi bermula Isnin ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), NASARUDDIN ABDUL MUTTALIB, berdasarkan kejayaan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi sejak dilaksanakan pada 16 September lalu, pihaknya sudah bersedia sepenuhnya menerima kehadiran pelancong luar negara dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.
Ikuti temu bual beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, ZAID MOHD. NOOR dan NUR AMALINA AZMAN di pejabatnya di Pulau Langkawi, baru-baru ini.
UTUSAN: Gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi akan dimulakan pada 15 November ini. Adakah Langkawi bersedia sepenuhnya untuk menerima kunjungan pelancong asing?
NASARUDDIN: Mengikut perkembangan terkini, projek rintis gelembung pelancongan Langkawi yang dilancarkan pada 16 September lalu telah mencapai kejayaan berdasarkan statistik jumlah kemasukan pelancong dan keuntungan yang berjaya dijanakan.
Berdasarkan kejayaan tersebut, kerajaan membuat persediaan untuk membuka Langkawi kepada pelancong antarabangsa bagi merancakkan lagi pulau peranginan itu selepas ini.
Justeru, di peringkat awal, LADA mencadangkan 20 buah negara yang dimasukkan dalam senarai negara berisiko rendah bagi membolehkan kawalan SOP untuk pelancong asing dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Namun, segala keputusan adalah tertakluk kepada kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Imigresen serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Dalam pada itu, sehingga kini, sudah ada negara yang menyatakan rakyat mereka ingin berkunjung ke Langkawi sebaik sahaja dibenarkan seperti Rusia, Poland, Singapura, China dan Iran.
Kita juga telah berhubung dan berunding dengan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa seperti Qatar Airways, AirAsia Berhad, Scoot Tigerair Pte. Ltd. dan Mahan Air untuk merancang aturan perjalanan penerbangan berjadual dan carter (scheduled and charter flights) apabila Langkawi dibuka kepada pelancong antarabangsa nanti.
Adakah MOTAC telah meluluskan cadangan senarai pendek 20 negara tersebut?
Negara-negara yang berada dalam senarai itu adalah China, India, Arab Saudi, United Kingdom, Australia, Singapura, Jerman, Jepun, Belanda, Amerika Syarikat (AS), Perancis, Pakistan, Rusia, Bangladesh, Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Iran.
Berdasarkan pembentangan MOTAC, pelancong dari negara-negara berkenaan dibenarkan memasuki Langkawi tertakluk kepada kelulusan Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri.
Apa persediaan oleh pihak kita dan negara luar bagi pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi termasuk berkaitan SOP?
MOTAC telah membentangkan SOP khusus untuk pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi melibatkan persediaan bagi kedua-dua belah pihak.
Antara perkara utama ditekankan adalah sudah pasti hanya pelancong asing yang lengkap divaksinasi dan mengemukakan dokumen bukti berkenaan sahaja dibenarkan masuk ke Langkawi.
Selain itu, mereka juga diwajibkan untuk menjalani ujian saringan Transkripsi Balikan-Tindak balas Berangkai Polimerase (RT-PCR), iaitu 72 jam sebelum perlepasan atau penerbangan terus ke Langkawi dan sekali lagi pada hari kedua setibanya mereka di pulau ini.
Bagi pelancong yang transit terlebih dahulu di Kuala Lumpur, mereka perlu menjalani ujian rapid molecular. Sekiranya disahkan positif bagi Kategori 1 dan 2, pelancong perlu ditempatkan di pusat kuarantin yang disediakan di hotel masing masing.
Hotel-hotel ini telah mengenal pasti bilik untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin. Bagi pelancong positif Covid-19 Tahap 3 hingga 5 pula perlu mendapat rawatan di hospital swasta di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Pelancong antarabangsa yang bakal tiba melalui gelembung pelancongan ini juga perlu mendapatkan insurans perlindungan Covid-19 bernilai sekurang-kurangnya AS$80,000 (RM331,960), selain turut perlu mendapatkan khidmat pelancongan daripada pengendali berlesen di bawah MOTAC.
Berapa sasaran pelancong asing yang berkunjung ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi bermula 15 November hingga hujung tahun ini?
LADA menjangkakan kedatangan pelancong akan meningkat secara perlahan pada awal pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa pada 15 November ini. Setakat ini, tiada penerbangan terus ke Langkawi dari negara luar pada 15 November nanti, sebaliknya pelancong ini akan singgah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki penerbangan ke Langkawi.
Jumlah pelancong asing yang berkunjung ke Langkawi dalam tempoh tersebut disasarkan seramai 5,000 orang. Berdasarkan angka tersebut, LADA menjangkakan sebanyak RM24 juta pendapatan daripada industri pelancongan bakal diperoleh sekiranya seorang pelancong asing bercuti secara purata selama tujuh hari di sini.
Angka tersebut mungkin kecil nilainya tetapi angka tersebut adalah sangat realistik berdasarkan situasi tiada penerbangan terus ke Langkawi. Penerbangan terus ke Langkawi mungkin paling cepat akan diadakan pada Disember nanti.
Tempoh masa tersebut adalah kerana penerbangan terus biasanya memerlukan lebih kurang dua bulan untuk pihak agensi pelancongan melakukan perundingan, menjual tiket penerbangan serta pakej pelancongan.
Apa penambahbaikan yang akan dilakukan untuk menyambut ketibaan pelancong asing selepas kejayaan gelembung pelancongan Langkawi sebelum ini?
LADA optimis gelembung pelancongan Langkawi sebelum ini telah berjaya meningkatkan pendapatan penduduk tempatan setelah sekian lama pulau ini ditutup kepada para pelancong.
Bagi memastikan kejayaan ini dapat dikekalkan khususnya ketika pembukaan sektor pelancongan Langkawi kepada pelancong luar negara, penambahbaikan SOP untuk pelancongan domestik sebelum ini juga boleh dilakukan. Bagi gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi khususnya, penambahbaikan dapat dilihat dari segi cadangan pelaksanaan SOP yang lebih ketat seperti mewajibkan para pelancong antarabangsa untuk menjalani ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) Covid-19 yang lebih tepat hasilnya.
Bagaimana sambutan sepanjang tempoh gelembung pelancongan Langkawi, memandangkan masih ramai yang risau dengan perkembangan Covid-19?
Walaupun kes jangkitan Covid-19 masih dilaporkan sehingga hari ini di seluruh Malaysia, sambutan terhadap pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi ini adalah positif dan memberangsangkan. Para pelancong dan pemain industri semuanya menyambut baik gelembung pelancongan domestik yang dilaksanakan ini.
Buktinya dapat dilihat melalui angka kemasukan pelancong ke pulau ini dan jumlah pendapatan yang berjaya dijana. Penetapan serta penguatkuasaan SOP yang jelas dan persediaan rapi yang telah dilaksanakan oleh semua pihak termasuk kerajaan dan pemain industri pelancongan dilihat berjaya memupuk keyakinan pelancong bahawa Langkawi sememangnya destinasi pelancongan yang selamat untuk mereka kunjungi.
Pelbagai kempen promosi turut berjaya dilancarkan, termasuk Langkawi Great Sale (LGS) 2021 rentetan sambutan menggalakkan yang telah kita terima. Terbaharu, LADA menjalinkan kerjasama strategik dengan Malaysia Airlines Berhad (MAS) sebagai rakan penerbangan rasmi untuk kempen LGS2021 ini.
Berapa jumlah pelancong yang berkunjung ke Langkawi sejak 16 September lalu dan berapa purata perbelanjaan pelancong setakat ini?
Secara keseluruhan sehingga 5 November lalu, Langkawi menerima seramai 240,361 orang pelancong melalui tiga pintu masuk iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Jeti Kuah dan Dermaga Tanjung Lembung (Langkawi Port).
Jumlah keuntungan sektor pelancongan Langkawi yang berjaya dijana sehingga 5 November lalu adalah sebanyak RM247.67 juta.
Bagi November ini sahaja, jumlah terkini keuntungan yang diperoleh adalah RM44.04 juta hasil daripada kemasukan seramai 42,742 orang pelancong. Justeru, kesemua statistik ini menunjukkan sambutan yang menggalakkan khususnya bagi permulaan pembukaan industri pelancongan bukan sahaja Langkawi malah seluruh negara.










