PUTRAJAYA: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 bakal bermula sebaik sahaja selesai Hari Penamaan Calon hari ini yang ditetapkan selama 12 hari.
Ia sekali gus menyaksikan calon-calon yang bertanding mewakili parti-parti politik atau dari calon bebas mula menggerakkan segala strategi berkempen untuk meraih undi bagi memperoleh mandat memerintah Kerajaan Negeri Melaka menjelang hari pengundian pada 20 November ini.
Bagaimanapun, aktiviti berkempen dilihat agak terhad dan di luar kebiasaan mengikut norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19 selepas Kementerian Kesihatan mengeluarkan larangan bagi sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya sejak 25 Oktober lalu hingga 27 November ini.
Ini termasuk kempen rumah ke rumah dan ceramah politik juga tidak dibenarkan.
Mengikut ‘kebiasaan’ kempen pilihan raya, aktiviti-aktiviti meraih undi seperti sumbangan barangan keperluan dan memberikan sejumlah wang kepada pengundi di satu-satu kawasan amat sinonim dilaksanakan jentera mana-mana parti politik.
Bagaimanapun, mungkin ramai tidak sedar perbuatan seumpama itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana sebarang sogokan untuk tujuan ‘membeli’ undi adalah satu kesalahan di bawah akta berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini termasuk perbuatan menjamu atau membelanjakan apa-apa bentuk keraian makan dan apa-apa bentuk seumpama itu kepada pengundi sebagai umpan supaya memberi undi kepada calon yang bertanding.
“Sumbangan duit adalah satu bentuk politik wang sebagai sogokan membeli undi. Semua bentuk penyogokan untuk memancing undi merupakan kesalahan di bawah akta tersebut,” katanya di sini semalam.
Wan Ahmad berkata, jika disabit kesalahan oleh mahkamah di bawah akta berkenaan atas perbuatan penyogokan (Seksyen 10), menjamu (Seksyen 8), atau melakukan pengaruh yang tidak wajar (seksyen 9), hukuman penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM5,000.
Selain itu, beliau memberitahu, apabila seseorang disabit atas kesalahan rasuah dalam pilihan raya, ia hilang hak sebagai pemilih dan (tidak boleh mendaftar sebagai pemilih) atau hak untuk menjadi calon dalam pilihan raya.
“Dan jika calon itu telah dipilih, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu. Ketidakbolehan itu ialah selama tempoh lima tahun dari tarikh sabitan itu.
“Seksten 31 Akta Kesalahan Pilihan Raya juga menetapkan bahawa pemilihan seseorang calon dalam mana-mana pilihan raya terbatal oleh sebab sabitannya atas apa-apa perbuatan rasuah atau perbuatan yang menyalahi undang-undang dalam pilihan raya itu,” katanya.
PRN Melaka diadakan pada 20 November ini ekoran pembubaran DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober lalu seperti mana di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali. – UTUSAN ONLINE










