Guna paras kemiskinan baharu untuk bantu rakyat - Nurul Izzah - Utusan Malaysia

Guna paras kemiskinan baharu untuk bantu rakyat – Nurul Izzah

NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kiraan garis kemiskinan lama sudah tidak sesuai diguna pakai kerana keadaan negara sudah banyak berubah susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, kemiskinan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meruncing dan kerajaan seharusnya peka supaya mereka dapat diselamatkan.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed menyam­but baik laporan pejabat Parlimen Permatang Pauh dan meng­galakkan ahli parlimen lain untuk buat perkara sama. Namun, apa yang kita mahukan ialah kerajaan menggunakan kiraan paras pendapatan garis kemiskinan yang lebih reflektif.

“Kalau saya kata, hanya keluarga berpendapatan bawah RM1,196 dapat bantuan iaitu golongan miskin tegar sahaja, ia tidak menggambarkan realiti sebenar kerana sepatutnya pa­rasnya adalah sehingga RM2,208 setakat tahun 2019. Kita tidak mahu ramai lagi golongan yang tidak dapat bantuan.

“Saya tahu implikasinya besar kepada kewangan negara tetapi saya mahu isu ini menjadi misi kita bersama untuk menyediakan pelampung dan gaji yang memadai bagi rakyat dan kita sama-sama mencari jalan bukan untuk mengurangkan hutang negara semata-mata. Itu bukan misi tetapi tanggungjawab,” jelasnya dalam temu bual bersama MMTV di sini semalam.

Terdahulu, Laporan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) Permatang Pauh 2021 yang di­lancarkan memperincikan pem­­­bangunan secara realistik sebagai kaedah alternatif bagi me­ngukur kadar kemiskinan berdasarkan dimensi ke­perluan asas dalam ketua isi rumah (KIR).

Nurul Izzah berkata, kajian itu menggunakan sembilan dimensi utama termasuk dimensi konvensional seperti kemudahan perumahan mencatat kadar penyisihan ter­tinggi, diikuti pendidikan KIR, sanitasi, bekalan air, kesihatan dan elektrik.

Sementara itu, tiga indikator utama yang berkaitan dengan pandemik Covid-19 menunjukkan skor penyisihan yang agak tinggi, khususnya yang berkaitan dengan keselesaan rumah kediaman, dimensi kehilangan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas di­sebabkan PKP, serta kadar penyisihan berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Belum ada kajian khusus yang menjurus kepada kesan Covid-19 terhadap isi rumah B40, kepada anak-anak mereka daripada jumlah ini, kita boleh menggambarkan secara realistik untuk kita bersama-sama mencari penyelesaian yang terbaik.

“Mahu atau tidak mahu, kita perlu ukur masalah kemiskinan rakyat secara realistik. Kadangkala, menerusi rasa empati terhadap kumpulan B40, saya menyelami isi hati dan pengalaman mereka, kita tidak boleh mengabaikan fakta tanpa mengambil kira jenis-jenis kemiskinan yang mereka ha­­dapi,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×