PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary dari Pas tetap mengharapkan gabungan kerjasama tiga parti terus terjalin bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, usaha masih dijalankan bagi memastikan tiga gabungan parti ini iaitu Pas, BERSATU dan UMNO bekerjasama dalam menghadapi PRN itu nanti.
Tegasnya, kerjasama ini diharapkan oleh semua peringakt akar umbi kerana sekiranya ada pertembungan akan memberi kesan kepada kerajaan.
“Walaupun masih belum ada kata sepakat yang jelas saya yakin dan percaya diakhirnya ada kesepakatan tiga parti ini untuk menghadapi PRN Melaka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan One-Off kepada Pekerja Agensi Pelancongan di pejabatnya, di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk Pas yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) ataupun BERSATU.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara punca tiada kerjasama dengan Pas ialah MN itu sendiri tidak pernah didaftarkan.
Mengulas peraturan berkempen mengikut SOP baharu, Ahmad Marzuk menyokong arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang melarang apa juga bentuk perhimpunan berkaitan dengan pilihan raya termasuk penganjuran majlis seperti pelancaran jentera pilihan raya.
Menurutnya,itu yang terbaik sebenarnya kerana zaman teknologi telah menguasai orang ramai ketika ini, jadi kempen secara maya boleh diadakan melalui media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp.
“Ketika ini pengundi sudah masak dengan politik negara jadi peraturan diadakan kerajaan ini tidak menjejaskan maklumat kempen untuk disampaikan kepada pengundi,” katanya. – UTUSAN










