MUKADIMAH
PEMBUKAAN pelbagai sektor termasuk rekreasi dan pelancongan selepas beberapa bulan ‘terkurung’ akibat penularan wabak Covid-19 memberi peluang orang ramai untuk beriadah bersama keluarga.
Sehubungan itu, peningkatan kes kecederaan dan kemalangan berkaitan aktiviti tersebut turut dijangka menunjukkan trend peningkatan.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan jurugambar, FAIZ ALIF AHMAD mendapatkan penjelasan daripada Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, DATUK NOR HISHAM MOHAMAD berhubung perkara ini.
PENINGKATAN KES KEMALANGAN AKTIVITI REKREASI
Apa yang boleh saya katakan, memang terdapat peningkatan kes terutama di kawasan perkelahan semenjak kebenaran untuk melakukan aktiviti rekreasi terutama di kawasan air terjun dan pantai. Dan kita menjangkakan kes akan terus meningkat lebih-lebih lagi jika aspek keselamatan tidak diutamakan.
Bagi kami sebagai agensi yang melakukan tugas menyelamat, ia sebenarnya satu perkara yang sangat serius. Dan kita sebagai salah salah agensi yang dipertanggungjawab dalam sebarang operasi menyelamat sentiasa bersedia untuk sebarang tugas ketika berlaku kecemasan terutama di hotspot tertentu, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kejadian lemas atau orang sesat serta kecederaan ketika mendaki gunung. Ia memang sesuatu yang sangat sukar untuk dijangka.
KAWASAN HOTSPOT
Kita mengenal pasti 216 daripada 260 kawasan di seluruh negara dikategorikan sebagai berisiko tinggi untuk berlaku lemas. Ia melibatkan pantai dan kawasan perkelahan air terjun. Negeri tertinggi adalah Kedah iaitu 52 diikuti Terengganu (32), Johor (30), Negeri Sembilan (19), Pulau Pinang (16), Selangor dan Perlis masing-masing 11, Sabah, Melaka dan Pahang (9), Perak (8), Kelantan (6) dan Sarawak (4).
Begitu juga beberapa kawasan pergunungan terutama di Selangor dan Lembah Klang selain negeri-negeri tertentu. Tapi di kawasan gunung ini, kejadian kemalangan atau kerja menyelamat lebih kepada faktor kecederaan dan bukannya sesat. Ini kerana faktor muka bumi kawasan pergunungan di negara kita tidak sama sebagaimana negara luar yang agak mudah.Di negara kita, banyak curam dan lurah serta laluan trek yang mencabar.
PUNCA
Untuk aktiviti kawasan rekreasi atau perkelahan membabitkan air termasuk pantai dan air terjun, biasanya ia terjadi disebabkan beberapa faktor. Pertama, mangsa dan kedua, faktor semula jadi.
Faktor-faktor semula jadi seperti kepala air, pusaran air atau air karau. Ketiga-tiga punca ini kalau terjadi pada orang yang handal berenang sekalipun memang susah untuk dia selamatkan diri. Melainkan dia tahu bagaimana untuk menangani dari awal. Sebagai contoh, pusaran air. Apabila seseorang yang pandai berenang terperangkap dalam kawasan pusaran air (mengikut keadaan), apa yang dia perlu lakukan adalah ikut arus tersebut sehingga membawanya keluar dari titik berlakunya pusaran. Tapi mungkin faktor panik, apabila terus melawan akan menyebabkan penat dan kekejangan otot.
Begitu juga karau air yang biasanya banyak berlaku di kawasan Teluk Cempedak, Pahang. Tapi di pantai berbeza kerana ia biasanya mengambil masa yang lama untuk keluar dari titik arus karau tersebut. Sebab itu saya katakan, faktor semula jadi mengatasi kemahiran individu. Perenang bertaraf Olimpik pun kalah kepada faktor ini.
KAWASAN PERGUNUNGAN
Bagi pendaki pula, isu kecederaan paling banyak dan mengatasi kes membabitkan sesat. Sebab itu pentingnya persediaan yang mencukupi. Paling penting jangan sesekali pandang rendah kepada kemampuan kawasan pendakian.
Perkara ini banyak berlaku kepada pendaki baharu. Mereka fikir, lepas beberapa minggu buat aktiviti fizikal, terus boleh naik gunung yang tinggi. Hakikatnya tidak, dan ia mengambil masa, lebih-lebih lagi jika individu tersebut tidak pernah atau jarang melakukan aktiviti fizikal. Lebih parah, mereka terikut-ikut rentak kelajuan pendaki lain dalam kumpulan sehingga lupa tahap kecergasan mereka di peringkat mana. Malah dalam segelintir kes, ada pendaki yang penat terus membuat panggilan kecemasan dan mengharapkan kami untuk membawanya turun sedangkan masih boleh berjalan. Ini contoh faktor fizikal dan mental yang sangat memainkan peranan apabila menyentuh soal aktiviti lasak.
GARIS PANDUAN DAN PERSEDIAAN
Setakat ini, kita tiada garis panduan khusus untuk orang awam. Namun, ada beberapa perkara boleh dilakukan seperti mengenal pasti terlebih dahulu kemampuan diri sebelum melakukan aktiviti fizikal dan risiko di kawasan yang ingin dikunjungi. Selain itu, individu tersebut juga boleh mengenal pasti risiko badan apabila berada di dalam air.
Begitu juga ketika menjalankan aktiviti pendakian. Pastikan persediaan diri mencukupi. Bekalan seperti kit pertolongan cemas juga perlu dibawa selain beberapa perkara untuk mengelakkan kekejangan seperti garam. Paling penting, kecergasan.











