PETALING JAYA: Sejumlah 1,742 kompaun dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara kepada individu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh seminggu sejak rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu.
Dalam tempoh sama, sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan kepada individu yang belum divaksin tetapi ‘cuba-cuba’ rentas negeri.
Tindakan itu sekali gus menunjukkan terdapat segelintir individu mengambil kesempatan untuk melakukan pergerakan rentas negeri meskipun tanpa lengkap dos vaksin.
Mengakui perkara itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, SAC M. V. Srikumar M. Nair memberitahu Utusan Malaysia, masyarakat diingatkan agar tidak mengambil kesempatan atas kebenaran yang diberikan kerajaan.
Menurut beliau, penguatkuasaan SOP oleh PDRM akan terus digerakan dari semasa ke semasa dan tindakan kompaun serta-merta akan dikeluarkan kepada individu yang melanggarnya.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 2,235 pemeriksaan dilakukan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya di seluruh negara.
“Pemeriksaan secara mengejut akan dilakukan di kawasan-kawasan tumpuan bagi memastikan individu tanpa vaksin tidak mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung,” kata beliau ketika dihubungi kelmarin.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan, sempadan negeri di seluruh negara dibuka serentak mulai 11 Oktober selepas kadar vaksinasi populasi dewasa melepasi 90 peratus.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kelonggaran pergerakan tersebut hanya dibenarkan buat individu yang sudah lengkap divaksin.- UTUSAN










