VENEZUELA sering dikenali dengan jolokan syurga dunia dek kecantikan rupa paras wanita-wanita di sana. Kecantikan semula jadi wanita-wanita Latin tersebut membuatkan mereka berjaya merangkul gelaran ratu cantik dunia, Miss Universe sebanyak tujuh kali!
Sebenarnya penangan Venezuela di Malaysia sudah pun bermula sejak kemunculan drama Mis Tres Hermanas yang bersiaran di NTV7 sekitar 2001 dahulu. Scarlet Ortiz, pelakon utamanya yang kini mencecah usia 47 menjadi pujaan ramai peminatnya di sini.
Namun, apa yang lebih menarik tentang negara pengeluar minyak ini ialah sikap para pemimpin mereka yang berjiwa rakyat, tegas dan lantang dalam memperjuangkan hak asasi dan isu-isu berkaitan umat manusia sejagat tanpa mengenal agama dan bangsa.
Hugo Rafael Chavez Frias atau lebih dikenali Panglima Hugo Chavez merupakan sosok yang bukan asing lagi buat masyarakat antarabangsa, bahkan pernah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia suatu ketika dahulu atas kelantangan beliau mengkritik dan mempersoalkan sikap Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel yang sering membuli dan mencabuli kedaulatan negara-negara asing.
Kelantangan dan ketokohan Chavez membuatkan negara Uncle Sam dan Zionis itu seperti cacing kepanasan sehingga pelbagai cara dan kaedah dilancarkan bagi memburukkan nama Chavez dan Venezuela di pentas dunia.
Sekilas tentang hero rakyat Venezuela ini, Chavez dilahirkan pada 28 Julai 1954 di Sabaneta. Selaku ahli politik berhaluan kiri, beliau sangat menitikberatkan nasib golongan miskin dan tertindas. Namanya terus meniti di bibir warga Venezuela daripada kelas pekerja dan bawahan terutama era 1990-an.
Sejarah tercatat apabila Chavez memenangi pilihan raya 1998 dengan 56 peratus undi. Beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Venezuela pada 2 Februari 1999 sehingga kematiannya pada 2013.
Selama 15 tahun pemerintahan Chavez, nama beliau terus dijulang oleh masyarakat dunia terutama dalam kalangan umat Islam termasuk di Malaysia. Sekalipun Venezuela terletak nun jauh di benua Amerika Selatan, namun para pemimpin mereka masih kisah terhadap krisis yang berlaku di seluruh dunia.
Pada 1947, Venezuela dan Israel menjalinkan hubungan diplomatik. Namun, hubungan itu dilihat tidak membawa apa-apa makna bahkan kedua-dua negara tersebut tidak pernah menikmati hubungan baik memandangkan Venezuela terus menerus mengkritik polisi dan kekejaman Israel terhadap Palestin.
Kemuncaknya pada 27 April 2009, tatkala Israel melancarkan serangan haram terhadap Palestin di Genting Gaza, Venezuela bertindak memutuskan hubungan sepenuhnya dengan Israel dan menghalau (pesona non grata) Duta Besar Israel waktu itu, Shlomo Cohen serta tujuh kakitangannya. Sebagai balasan, Israel turut melakukan hal sama.
Pada tahun itu juga, Venezuela sekali lagi mengejutkan dunia dengan secara rasminya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat diikuti Chile dan Bolivia. Chavez, dalam banyak edisi ceramahnya kerap menyifatkan Israel sebagai negara pengganas dan pembunuh.
SOS PALESTIN
Dunia bersedih apabila Chavez meninggal dunia pada 5 Mac 2013 kerana kanser. Para penyokong Chavez mendakwa Chavez sebenarnya telah dibunuh oleh musuhnya.
Lebih menjijikkan apabila Israel dilaporkan menganjurkan sambutan di atas kematian Chavez. Menurut mereka, kononnya Chavez meninggal dunia kerana termakan sumpahannya terhadap Israel pada 2010.
Nicolas Maduro yang sebelum itu merupakan Menteri Luar Negara dilantik sebagai Presiden baharu Venezuela. Beliau meneruskan polisi Chavez dalam memerangi Israel serta memberikan sokongan padu pada Palestin sehingga hari ini.
Dalam satu sidang akhbar pada 12 Julai 2014, Maduro melancarkan kempen SOS Palestin yang menuntut Israel supaya menamatkan pembunuhan rakyat Palestin di Gaza.
“Sudah cukup! Saya menyertai kempen ini, SOS Palestin. Ayuh kita lancarkannya,” seru Maduro kepada penyokongnya menerusi stesen televisyen di Venezuela.
Hari ini, Venezuela turut berdepan nasib sama apabila AS dan sekutunya terus menerus berusaha untuk menjahanamkan Venezuela dengan pelbagai kaedah seperti langkah paksaan sepihak (unilateral coercive measures) dan kudeta.
Tiga tahun lalu, dua dron meletup sewaktu Maduro sedang memberi ucapan di depan anggota Pengawal Kebangsaan Bolivarian di Caracas. Kerajaan Venezuela menyifatkan peristiwa tersebut sebagai usaha untuk membunuh Presidennya.
Selagi mana Venezuela tidak ‘menyembah’ AS dan sekutunya, maka selagi itulah AS akan meneruskan usaha untuk merosakkan Venezuela.
Setelah beberapa siri protes ganas dan kudeta gagal dilaksanakan, kini media AS dan Barat pula cuba menggambarkan Venezuela sebagai sebuah negara diktator dan gagal.
Rakyat Venezuela begitu teguh berdiri bersama pemimpin mereka.
Menurut laporan media Venezuela, Ultimas Noticias, kajian Hinterlaces Country Monitor menunjukkan 83 peratus rakyat di negara itu menolak dakwaan Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden Venezuela tajaan AS sejak 2019.
Mempertahankan Venezuela adalah suatu kemestian sekiranya kita marah dan bersuara lantang dengan kekejaman AS dan Israel di Palestin, Iraq dan sebagainya. Maka kita juga perlu peka dan ambil berat tentang isu Venezuela. Jangan sesekali kita beri peluang kepada mana-mana negara menjadi pembuli!
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.










