PETALING JAYA: Pelakon remaja, Yuyun Hikmah mengakui trauma ketika membawa watak Syuhada dalam drama I-Tanggang.
Yuyun atau nama sebenarnya Nurul Hikmah Azliyuszaini berkata, watak tersebut merupakan watak berat yang menanggung kesengsaraan kerana mengandung bawah umur.
Katanya, watak tersebut berlainan dengan watak yang pernah dilakonkannya sebelum ini.
“Memang trauma. Siapa yang nak mengandung bawah umur seperti itu.
“Melakonkan Syuhada cukup memberi tekanan kepada saya. Keadaannya, dengan keluarga dan diri sendiri yang tidak terurus.
“Tetapi selepas habis (berlakon), tekanan pun hilang,” katanya.
Yuyun berkata demikian dalam sesi wawancara menerusi aplikasi Zoom, semalam.
Kata Yuyun lagi, dia banyak merujuk pengarah drama tersebut, Wan Hasliza Wan Zainuddin bagi menghidupkan watak berkenaan.
“Saya lega kerana dapat melakonkannya.
“Saya harap karakter ini boleh diteladani orang lain agar tidak menjadi sepertinya,” tambahnya.
I-Tanggang mengisahkan konflik kekeluargaan yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat kita.
Drama yang menampilkan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Sherie Merlis, Sofea Jane dan ramai lagi ini ditayangkan di saluran Astro Citra, 108 setiap Isnin pukul 9 malam.











