Misha ketepikan hasrat hamil demi konsert - Utusan Malaysia

Misha ketepikan hasrat hamil demi konsert

Misha mahu berikan yang terbaik demi Konsert OSK bersama Bintang di Istana Budaya pada 30 Oktober ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Misha Omar, 40, mengaku memilih untuk mengenepikan dahulu hasrat untuk hamil kali kedua demi menjaga reputasi dan mengutamakan peminat yang selama ini menyokong kerjaya seninya.

Menurut Misha, hasrat itu juga sejajar demi menjayakan konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang yang bakal diadakan pada 30 Oktober ini di Istana Budaya (IB).

“Memang saya ada menjalani rawatan kesuburan iaitu ujian hormon Anti-Mullerian (AMH) sebelum ini. Malah, sudah separuh jalan dilakukan sejak Jun lalu. Saya tak risau pasal mengandung cuma ini melibatkan reputasi.

“Kalau saya hamil dan boleh menyanyi, tak apalah. Tapi kena ingat, fasa hamil setiap wanita setiap kalinya berbeza-beza. Mana tahu kalau saya mengandung tetapi tak cukup tenaga untuk menyanyi, nanti saya akan hampakan peminat pula.

“Dulu saya memgandungkan Idris, Alhamdulillah tidak terbeban apa-apa. Mudah. Tapi jika kali ini berbeza pengalamannya sehingga menggugat reputasi semasa menyanyi, saya tak mahu,” katanya.

Misha berkata demikian sewaktu ditemui pada sidang media Konsert OSK Bersama Bintang di IB, di sini hari.

Menyedari mungkin ada pihak yang mempertikaikan keputusannya mengenepikan soal hamil, Misha ada jawapannya:

“Kita ada pilihan dalam hidup. Ia adalah okey untuk memilih. Dalam hidup saya memang banyak senario begini. Kadang saya kena berhenti, kadang saya perlu teruskan.

“Tetapi cukuplah orang tahu bahawa saya tidak pernah buat separuh hati,” katanya.

Dalam pada itu, Misha memuji suaminya, Firros Ezzwan Rosly, yang di anggap sangat memahami ketika dia membuat keputusan untuk meneruskan projek konsert ini berbanding kehamilannya.

“Suami sangat baik sekali. Dia tahu kecintaan saya pada dia, sama besar dengan kecintaan saya terhadap seni. Dia peminat saya dan mendukung apa sahaja yang saya lakukan terutama membabitkan kerjaya.

“Dia tiada masalah dan menyokomg saya supaya fokus satu persatu urusan. Dia tak nak saya mengandung sambil buat kerja berat,” katanya.

Untuk rekod, Misha mempunyai seorang anak angkat lelaki bernama Muhammad Adam Emir yang kini sudah berusia 15 tahun.

Misha mendirikan rumah tangga dengan Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 dan mereka dikurniakan cahaya mata bernama Muhammad Idris Ezzwa, 5.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×