MOTAC, JKKN terus komited melestari warisan dan seni budaya bangsa - Utusan Malaysia

MOTAC, JKKN terus komited melestari warisan dan seni budaya bangsa

Penghasilan jurnal lengkap seperti muzik Beduan ini harus dijalankan secara teliti dan kajiannya juga perlu dilakukan secara mendalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA memartabat warisan dan budaya tempatan terus menjadi agenda utama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) agar kesenian negara terus dipelihara.

Dalam memperkasa dan memperkayakan rujukan berkaitan warisan, MOTAC dan JKKN menghasilkan jurnal berkaitan seni budaya tempatan yang berjaya menarik perhatian pelbagai pihak.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop, berkata hingga kini, sebanyak 16 jurnal dihasilkan dan akan diterbitkan secara digital melalui pelantar NeuCanvas JKKN.

Mesran Mohd. Yusop.

Katanya, penghasilan jurnal ini bertitik tolak daripada penganjuran Bengkel Penulisan Jurnal Seni Budaya 2020, yang turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Artikel Pantang Larang Kaum Lelaki Melanau, Sarawak dan Kesan Ketidakpatuhan oleh Mohamad Husri bin Morni diterbitkan dalam BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences.

“Manakala artikel Susur Rawai Dessit Duano dalam Seni Dangkong oleh Rahmat Damiri dan Adat Berbayoh dalam Pengubatan Tradisional Etnik Melanau oleh Zurairi Hanip, masing-masing dihantar untuk penerbitan dalam Jurnal Peradaban Melayu, UPSI dan Jurnal Semarak Bahasa, IPG KL,” katanya.

Mesran berkata, JKKN menyasarkan sebanyak 17 artikel jurnal dihasilkan dan bersama-sama tenaga pembimbing dari Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, JKKN telah berjaya menyediakan satu garis panduan penulisan artikel jurnal penyelidikan seni budaya yang secara asasnya menggariskan panduan penulisan artikel jurnal.

Katanya, berbeza dengan tahun lepas yang mengguna pakai format APA Style 6th edition, format kali ini menggunakan rujukan Chicago Manual of Style. Perbezaan format bagi memberikan peluang kepada jabatan dan pegawai meneroka kesesuaian penulisan yang menepati standard semasa.

“Garis panduan yang telah dibangunkan akan dimantapkan dari masa ke semasa, sejajar dengan keperluan penulisan jurnal jabatan. Selain itu, ia boleh dijadikan rujukan kepada penggiat dan penulis seni budaya yang berhasrat untuk turut menyumbang dalam penulisan seni budaya,” ujarnya.

Kata Mesran lagi, JKKN menyedari bahawa proses pengiktirafan ini adalah suatu proses yang sukar namun diyakini ia boleh dicapai dengan komitmen dan kerjasama yang berterusan.

Sebagai langkah awal, semua artikel jurnal akan dikompilasikan dalam satu koleksi jurnal yang boleh dicapai melalui pelantar digital JKKN iaitu laman sesawang dan NeuCanvas.

“Sejajar dengan Pelan Strategik JKKN 2021-2025, JKKN berhasrat mengekalkan momentum penghasilan jurnal secara tetap dan berterusan bagi tempoh lima tahun, sebagai usaha mendapatkan sitasi jurnal tempatan daripada Pusat Sitasi Malaysia (PSM) untuk diindekskan dalam pangkalan data MyCite,” katanya.

Sebagai perancangan jangka masa panjang, JKKN menyasarkan menghasilkan jurnal penyelidikan seni budaya yang menepati standard penulisan jurnal antarabangsa dan diperakui sebaris standard SCOPUS/WOS/PubMed/CiteSeer dan lain-lain,” katanya.

“Semua artikel ini merupakan cetusan idea dan hasil garapan penulisan pegawai JKKN,” katanya.

Maklumat lanjut boleh melayari www.jkkn.gov.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×