Kerlipan bintang Masya Masyitah makin menyerlah selepas hasilkan 'single' bahasa Mandarin - Utusan Malaysia

Kerlipan bintang Masya Masyitah makin menyerlah selepas hasilkan ‘single’ bahasa Mandarin

Masya Masyitah berharap karya seninya dapat menembusi pasaran China suatu hari nanti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TURUN naiknya karier artis dalam arena hiburan itu adat. Tetapi dari segi nama, Masya Masyitah sudah cukup kuat untuk dikenali di persada muzik tempatan.

Apatah lagi lagu Halimunan secara tidak langsung mengukuhkan lagi namanya di industri muzik.

Dalam perkembangan terbaharu, penyanyi genit yang mula bersinar bakat seni suaranya sejak 12 tahun lalu dan menerusi lagu Halimunan itu kini tampil dengan single terbaharu berjudul, Remuk.

Lagu tersebut merupakan versi nafas baharu yang ditukar menjadi Bahasa Melayu dari single sedia ada dalam Bahasa Mandarin iaitu Jiu Meng Xin Su.

Kongsi Masya atau nama lengkapnya Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff atau lebih mesra disapa Masya Masyitah, 21, sebaik saja single Mandarin dilancarkan sekitar tiga bulan lalu, dia menerima permintaan menggalakkan daripada peminat untuk menyanyikan lagu berkenaan dalam Bahasa Melayu pula.

“Alhamdulillah, ternyata Jiu Meng Xin membuahkan hasil. Rata-rata, ramai yang mahukan saya menyanyikannya dalam Bahasa Melayu pula.

“Oleh itu, pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment mengambil keputusan untuk merakamkannya semula dalam Bahasa Melayu maka terlahirlah Remuk,” kata bekas juara Ceria Popstar 2014 itu.

Jelas bekas naib juara pertandingan Festival Muzik Antarabangsa Hong Kong 106, liriknya pada kali ini diolah dengan jalan cerita yang berbeza namun dengan pengakhiran yang menyayat hati oleh penulis lirik terkemuka negara, Siso dengan produser berpengalaman, Sharon Paul.

“Remuk menceritakan tentang perasaan seorang isteri yang dinikahi suaminya tanpa perasaan cinta.

“Sang suami mengahwini isterinya kerana perasaan ego yang menebal dengan tidak mengendahkan perasaan sang isteri.

“Tetapi, sang isteri tetap cuba mendekati sang suami hari demi hari, akhirnya terpaksa akur dan memendam perasaan, ibarat terjerat dalam sangkar emas tanpa sekelumit rasa bahagia,” jelasnya.

HARAPAN

Cerita penyanyi lagu Hapus itu lagi, proses rakaman lagu terbaharu hanya memakan masa selama satu hari dan berjalan dengan lancar tatkala negara masih lagi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah penyanyi kelahiran Kulim, Kedah, itu hatinya terus terpaut apabila mendengar demo lagu asal ditambah dengan jalan ceritanya yang menyentuh hati.

“Feros yang membuat keputusan agar pihak RocketFuel Entertainment menerbitkan lagu ini, dan beliau jugalah yang bertanggungjawab mencadangkan agar lagu ini dinyanyikan semula dalam Bahasa Melayu.

“Harapan saya moga-moga single Remuk mendapat sambutan ramai sebagaimana single yang terdahulu.

“Saya juga masih berharap jika ada peluang dan rezeki, hasil karya saya dapat menembusi pasaran negara China pada satu hari nanti,” tuturnya.

Sementara itu, menurut penulis lirik dan komposer muzik hebat tempatan, Kai Kai, dan dihasilkan bersama produser terkenal, Ong Peng Chu, berkata, Remuk atau Jiu Meng Xin Su merupakan ciptaan istimewa dalam genre slow rock.

“Lagu ini saya ciptakan khas buat Masya kerana kebolehannya menyanyi dalam bahasa Mandarin dengan fasih.

“Manakala Peng Chu mahukan beliau menyanyikannya dengan stail slow rock ala Melayu bagi memberi kelainan terhadap lagu tersebut,” terang Kai Kai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×