KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan nasib setiap individu dalam Keluarga Malaysia akan dibela oleh kerajaan.
Perdana Menteri berkata, kementerian-kementerian melalui penyelarasan berterusan, telah merangka pelbagai inisiatif dan usaha bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang akan ketinggalan.
“Ini merupakan langkah untuk menyemai budaya khidmat, berorientasikan prestasi bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri semalam.
Katanya, meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kerajaan meraikan keterangkuman dalam perbezaan dengan menjunjung semangat sebuah negara bangsa yang menjadi salah satu ciri dalam Keluarga Malaysia.
“Barangkali ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya idea Keluarga Malaysia dan mengapa ia menjadi ‘semangat’ yang mahu disemarakkan oleh kerajaan.
“Jawapannya mudah, kerana sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu seiring dengan perjalanan memulih dan mengembalikan negara daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang dilalui negara.
“Konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam, kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam setiap keluarga,” katanya.
Tambahnya, apa yang dilakukan kerajaan adalah mengharmoni dan mengangkat nilai-nilai itu sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia, dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum.
Seiring dengan itu, Ismail Sabri turut melancarkan Skuad Keluarga Malaysia yang akan menyelaraskan semua mekanisme penyampaian bantuan untuk rakyat yang memerlukan di seluruh negara di bawah satu jentera.
Skuad itu akan diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan merupakan kolaborasi pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Seramai 10,000 anggota Skuad Keluarga Malaysia telah bersedia untuk digerakkan ke segenap pelosok negara bagi membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik. Jumlah ini dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri,” katanya.
Kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan sebagai pelengkap kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memastikan setiap produk Keluarga Malaysia memberi impak positif seperti yang diharapkan.
Justeru, beliau menyifatkan usaha memulihkan negara akan tercapai jika rakyat terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri keterangkuman, kebersamaan dan Kesyukuran.
“Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu, pasca pandemik. Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










