Kita belum adil, telus - Utusan Malaysia

Kita belum adil, telus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGERUSI Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), TAN SRI AB. RASHID AB. RAHMAN, cukup bersemangat menceritakan 49 syor telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Ogos lalu.

“Saya buat kerja sahaja kerana saya (memang) seorang pekerja,” katanya setelah ditanya adakah beliau khuatir syor itu akan mengalami nasib sama seperti banyak cadangan berkaitan pilihan raya sebelum ini yang tidak menjadi kenyataan.

Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurugambar, FARIZ RUSADIO, di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui beliau tetap mempunyai kebimbangan.

Beliau risau jika kerajaan agak perlahan melaksanakan syor terbabit, akan ada pihak lain mengambil kesempatan bagi menonjolkan mereka pejuang pilihan raya lebih adil dan telus.

Berikut sedutan wawancara hampir dua jam berkenaan.

PILIHAN RAYA BEBAS

MATLAMAT penubuhan ERC adalah untuk memperku­atkan amalan demokrasi di Malaysia kerana pilihan raya adalah tunggak kepada amalan demokrasi. Kalau pilihan raya itu tidak berjalan secara demokratik, elemen demokrasi lain pun terjejas.

Kita boleh dikatakan menjalankan pilihan raya demokratik. Tetapi baju demokrasi yang kita gunakan dalam pilihan raya itu adalah baju lama.

Mula-mula dulu kita buat undang-undang ini dibantu oleh Inggeris sejak 1955. Bagi negara-negara Komanwel yang baru merdeka, kerana keadaan hidup masyarakat ketika itu tidak boleh disusahkan dengan perkara besar, jadi sistem pilihan raya itu kena buat secara mudah.

Jadi sistem diguna pakai ialah first-past-the-post (FPTP) atau pilihan raya secara undi terus kepada calon dan bukan undi parti. Kalau kita menang dengan satu undi pun, kita menang dan undi yang diterima oleh orang yang kalah adalah sia-sia.

Sistem yang kita ada mengandungi perkara-perkara asas macam mana pilihan raya itu harus dijalankan. Setakat ini, perkara asas itu sudah cukup untuk membolehkan SPR menjalankan pilihan raya dan paling penting membolehkannya menentukan orang dapat mengundi dengan bebas.

Faktor adil kita letak ke tepi dahulu, tetapi bila orang dapat pergi mengundi dengan baik, secara bebas, kita gred tinggilah yang itu. Semua orang pergi pada hari mengundi, dia ada nama sahaja, dia pergi dan tiada masalah, bebas sahaja tak ada apa dan undi dia rahsia.

Itu terjamin sejak awal, jadi undang-undang yang kita ada itu, telah menubuhkan sistem pengundian yang baik. Tetapi dari sudut demokrasi, kalau kita lihat apa pilihan raya yang bebas, adil dan telus. Ini tiga elemen yang penting dalam pilihan raya, kita dapati undang-undang kita ini jauh ketinggalan di belakang.

Kerana kita boleh jamin kebebasan bukan sahaja untuk mengundi tetapi berorganisasi, you nak tubuh parti apa. Tetapi kalau dikemukakan soalan, adilkah? Itu ada tanda tanya yang besar. Secara terus terang saya kata undang-undang ini tidak menghasilkan suatu bentuk pilihan raya demokrasi yang ideal atau tulen.

Jiran kita Indonesia, Thailand, Filipina dan sebagainya pun jauh lebih adil daripada kita. Elemen yang tidak adil ialah ada banyak perkara yang tak ada dalam undang-undang yang patut ada.

Ini komponen tidak wujud yang yang patut wujud. Jadi tugas kita (ERC) ialah mengenal pasti komponen yang tidak wujud ini untuk diwujudkan supaya undang-undang ini lengkap. Sebab itu bila kita sebut pilihan raya demokrasi, kita nak tentukan tiga elemen tadi dapat dicapai iaitu bebas, adil dan telus.

Dalam istilah politik disebut padang permainan yang sama rata. Maknanya, semua pihak yang bertanding itu tidak berasa dirinya teraniaya sebab ada pihak yang dapat kelebihan.

Bukan undang-undang itu bagi kelebihan tetapi elemen yang tidak ada memberi kelebihan kepada pihak tertentu. Secara jelas saya sebut parti pemerintah sebab dia kawal undang-undang dan kelihatan jelas SPR juga adalah di bawah kawalan kerajaan.

Dulu masa kita diberi tugas ini terma rujukan secara keseluruhannya adalah untuk mewujudkan pilihan raya demokrasi yang kaliber iaitu boleh diterima oleh semua rakyat tanpa ragu-ragu. Kita tidak boleh dapat 100 peratus telus dan adil. Semua negara pun saya sudah kaji tiada siapa kata kita dapat 100 peratus. Sebab itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebut (pilihan raya) kaliber. Maknanya, boleh diterima.

KEBEBASAN MEDIA

Antara komponen yang tidak wujud adalah media ini langsung tiada kawalan. Media kita berpihak. Masa pilihan raya media ada fungsi dalam demokrasi.

Di negara-negara maju semasa musim pilihan raya, media kena bersikap adil, tidak berpihak. Kebanyakan media kita ini (berpihak), media A parti ini, media B parti ini, jadi media sudah berpihak, jadi maklumat yang diterima oleh pengundi tidak seimbang, kebanyakannya tidak sampai kerana dikawal oleh tangan-tangan yang tidak nampak.

Jadi itu sudah jadi tidak adil. Di samping itu, kalau ada peraturan pun, kebebasan media mesti dijamin. Media tidak boleh diikat. Kebebasan dia untuk menjalankan urusannya, tidak harus terikat dengan sesuatu yang tidak menjamin kebebasannya. Saya lihat laporan Utusan Malaysia sekarang bagus (seimbang). Ini salah satu daripada elemen penting lah.

PEMBIAYAAN

Pembiayaan ini mempunyai dua tiga (perkara) iaitu pembiayaan politik, pembiayaan pilihan raya dan pembiayaan kerajaan.

Ini semua mustahak. Kebanyakan negara mempunyai undang-undang untuk mengawal tiga elemen ini, tetapi kita langsung tiada kawalan. Orang boleh bagi duit menonggok (menimbun) banyak, berapa tong pun tidak apa ke satu parti. Parti kecil-kecil yang tak berapa ada guna ini, lima sen pun tak ada. Itu sudah tidak adil bukan, dari segi sumber?

Bila tidak ada duit dia pun tidak ada bantuan dan pertolongan kakitangan, itu dari segi demokrasi sudah menimbulkan keadaan amat tidak adil dan tidak seimbang, jadi padang permainan sudah tidak sama rata. ERC sudah mencadangkan supaya kawalan menerusi undang-undang yang khusus dibuat mengenai pembiayaan politik daripada orang ramai, pertubuhan dan sebagainya untuk parti politik, supaya telus.

Tidak ada bawah meja dan belakang tabir. Duit ini akan pergi ke parti dan bukan seperti sekarang ini tiada peraturan, banyak duit masuk poket. Ini berlaku semua parti. Itu yang saya tahulah, mungkin tidak betul. Tetapi itu yang saya dapat maklumat.

Ketika pilihan raya bermacam-macam pihak bagi, ini pembiayaan pilihan raya. Bukan duit sahaja, barang dan sebagainya, kemudahan, boleh bagi. Kalau nak bagi pinjam, itu pembiayaan.

Helikopter misalnya untuk parti ini bergerak, kena declare (isytihar).

Mengenai pembiayaan kerajaan, ini lebih serius. Kebanyakan negara maju dan negara membangun, hampir 100 peratus di luar, kerajaan ada bagi pembiayaan kepada parti politik. Itu satu. Untuk organisasi itu, supaya parti itu boleh hidup. Kita ada 54 parti. Boleh kira dengan jarilah, parti yang hidup. Tahu-tahu pilihan raya, ada dia. Maknanya parti berkenaan tiada sumber pembiayaan.

Demokrasi ini hidup atas bilangan parti atau pergerakan politik. Kalau tiada ini, tiada demokrasi. Kena ada organisasi-organisasi yang menampung kehidupan demokrasi itu. Kalau tidak, jadi sosialis, hanya satu parti.

Selain daripada itu, ada pula pembiayaan kerajaan untuk pembangunan yang diberikan kepada calon yang menang (pilihan raya). Sekarang ada dibuat, tetapi saya rasa ada diskriminasi, kadang-kadang pembangkang tak dapat pun. Kalau dapat pun, sikit. Tiap-tiap calon diberi peruntukan untuk kegiatan masyarakat dia. Itu perkara-perkara yang disentuh dalam laporan yang tidak ada tetapi nak diadakan, sebab ini adalah asas yang kuat bagi pilihan raya demokrasi.

RESPONS KERAJAAN

Mandat yang diberi kepada saya dua tahun lalu (16 Ogos 2018) masa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri adalah orang lain. Namun, tiada sekatan daripada kerajaan hari ini dan Perdana Menteri baharu.

Dia terima laporan kita dengan tangan terbuka. Tinggal lagi kerajaan baharu, dia perlu teliti perkara yang dikemukakan dan perlu bincang secara terperinci dalam Kabinet

Mungkin juga diwujudkan jawatankuasa Kabinet untuk mengkaji cadangan ini dan mungkin diberi persetujuan untuk melaksanakan mengikut cara yang kita usulkan.

Kita bagi syor apa yang perlu didahulukan apa yang perlu dikemudiankan. Kita ada 49 syor dan 32 daripadanya kita cadang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun daripada tarikh diisytiharkan untuk dilaksanakan, tetapi tarikh itu belum lagi diisytiharkan. Selebihnya antara tiga hingga 10 tahun

PEMBUBARAN ERC

Disember ini habis (ERC). Kita cadangkan kepada kerajaan untuk tubuhkan satu unit khas pelaksanaan supaya ia (syor) tidak tertinggal. Ini penting kerana syor ini datang daripada masyarakat, sebab itu kita adakan 18 engagement (libat urus) di seluruh negara.

Kita buat kajian, jadi janganlah usaha ini disia-siakan, saya harap satu keputusan kemas dapat dicapai oleh kerajaan dan apa yang perlu didahulukan perubahan kita minta dilaksanakan. Tetapi saya tidak boleh bagi kata dua, saya hanya buat kerja saya. Kalau mahu pilihan raya demokrasi, inilah dia.

PIHAK MENENTANG

Mereka boleh berdialog dengan kita. Mungkin dia tidak faham sebab tidak tahu secara terperinci sebab belum baca. Ada individu komen sebab dia tidak faham apa yang dimaksudkan seperti kenapa kita syor pemilihan ke Parlimen menggunakan sistem perwakilan berkadar atau PR (undi parti) tapi pilihan raya negeri masih kekal FPTP (undi calon) sebab kehadiran wakil rakyat mustahak.

Wakil rakyat ini kerja dia buat undang-undang tapi di negeri sudah jadi budaya wakil rakyat adalah pegawai kebajikan. Jadi rakyat perlukan wakil di kawasan. Tetapi kalau sistem PR, wakil rakyat hanya ada di Parlimen tapi dia boleh buka pejabat khidmat rakyat dan sebagainya di kawasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×