PETALING JAYA: Memasukkan klausa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Perlembagaan Persekutuan dan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen antara cadangan ke arah mereformasikan suruhanjaya itu agar kembali diyakini umum.
Selain itu, pelantikan ahli SPRM wajar dibuat Yang di-Pertuan Agong mengikut perundingan dengan Majlis Raja-Raja tanpa terikat dengan nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, kuasa dan bidang SPRM perlu dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti mana peranan Jabatan Audit Negara, sekali gus memberi ruang kepadanya membentangkan segala laporan kepada Parlimen.
Katanya, buat masa ini tiada peruntukan bidang kuasa SPRM dalam Perlembagaan dan peranannya hanya dijelaskan menerusi Akta SPRM sahaja.
“Kalau Jabatan Audit Negara, peranannya diperincikan dalam Perlembagaan sama ada daripada segi pelantikan Ketua Audit Negara dan setiap tahun kena bentangkan laporan kepada Parlimen.
“Oleh itu, jika kita menjadikan SPRM bergerak seperti Jabatan Audit dan melaporkan kepada Parlimen, maka perlu memasukkan klausa bidang SPRM dalam Perlembagaan. Setakat kini tiada lagi memandangkan SPRM diwujudkan selepas negara capai mencapai kemerdekaan.
“Bagi saya bagus untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen, cuma cadangan ini perlu diperjelaskan secara terperinci sebab idea ini masih samar-sama lagi,” katanya di sini.
Beliau mengulas syor beberapa pihak yang mahukan suruhanjaya itu diletakkan di bawah Parlimen bagi memastikan ia benar-benar bebas dan telus ekoran kontroversi membabitkan tangkapan tiga pegawainya berhubung dakwaan kecurian wang tunai milik individu yang disiasat tentang penyelewengan dana pada 2018.
Hasil siasatan SPRM ke atas tiga pegawainya telah membawa kepada penyitaan sebuah rumah dan beberapa kendaraan mewah yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.
Dalam pada itu, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, SPRM perlu mengemukakan laporan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 146 Perlembagaan Persekutuan, dan dibentangkan juga dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Beliau berkata, sesi pembentangan laporan tersebut di Parlimen perlu diberikan masa secukupnya dan dijadikan agenda khas untuk membolehkan semakan dan pemantauan dibuat secara telus.
“Aspek lain yang perlu diberi penekanan ialah, pelantikan ahli Suruhanjaya SPRM hendaklah dilihat bebas dan telus. Misalnya, Yang di-Pertuan Agong berhak melantik sejumlah ahli mengikut perundingan dengan Majlis Raja-Raja tanpa terikat dengan nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
“Calon-calon boleh diurusetiakan oleh Ketua Setiausaha Negara, dan melalui calon yang dikemukakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja. Ahli Suruhanjaya tidak boleh ditamatkan tempoh lebih awal tanpa melalui proses tribunal, iaitu seperti penamatan seorang hakim,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen SPRM untuk membolehkan suruhanjaya dipantau oleh jawatankuasa dalam kalangan ahli Parlimen.
Katanya, jawatankuasa berkenaan boleh bertanya secara terus kepada Ketua Pesuruhjaya atau mana-mana pegawai SPRM sekiranya berlaku penyelewengan dalam suruhanjaya tersebut.
Katanya, langkah itu secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM yang perlu telus dan berhati-hati dalam setiap gerak kerja sama ada daripada segi soal siasatan dan pendakwaan.
“Sekiranya perkara ini mahu dilaksanakan, Akta SPRM perlulah dipinda untuk memberi kepada SPRM bertanggungjawab penuh kepada jawatankuasa ini. Malah jawatankuasa ini juga boleh berperanan melantik Ketua Pesuruhjaya dan pengurusan SPRM,” katanya.
Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan jika kerajaan mahu meletakkan SPRM di bawah Parlimen sama ada ia hanya berkaitan soal pengurusan atau pelantikan Ketua Pesuruhjaya.
“Jika SPRM bertanggungjawab kepada Parlimen, maka Ketua Pesuruhjaya perlu memberikan penjelasan dalam Parlimen sedangkan ia merupakan tugas seorang Menteri. Namun jika seorang menteri menjawab bagi pihak SPRM, ia menunjukkan suruhanjaya ini terikat dengan badan Eksekutif.
“Berbanding mewujudkan jawatankuasa pilihan khas, tidak perlu Ketua Pesuruhjaya jawab dalam Parlimen kerana beliau akan dipersoal secara terus oleh anggota jawatankuasa melibatkan dalam kalangan ahli Parlimen,” ujarnya.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir pula berkata pemilihan anggota dan pegawai SPRM perlu lebih ketat dan badan pemantau perlu bersikap lebih profesional dan adil.
“Apa yang berlaku harus jadi iktibar, SPRM perlu perketatkan sistem pemilihan pegawai, memantau sistem dalaman tanpa mengira bulu bagi mengembalikan imej bersih institusi. Malah, badan pemantau SPRM perlu ingat peranan mereka sebagai semak dan imbang kerana kita tidak mahu mereka menutup apa jua kes dalaman, mereka perlu adil, without fear of favour, tidak memihak sesiapa selain pertahankan institusi SPRM,” katanya. – UTUSAN










