Mukadimah
KENA ada permit ke? Itu pertanyaan yang sering diajukan oleh netizen yang gemarkan aktiviti kembara hutan (hiking). Mereka tertanya-tanya apabila melihat gambar-gambar orang ramai beriadah dalam hutan simpan kekal (HSK) tular di media sosial.
Lebih mengelirukan, jawapan berbeza diterima setiap kali bercakap soal permit untuk memasuki HSK.
Namun, benarkah para pengembara (hiker) ini memang tidak tahu atau buat-buat tidak tahu pasal permit? Atau pihak berkuasa kurang menyediakan maklumat, khususnya papan tanda di pintu masuk kawasan-kawasan terbabit?
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan jurugambar, FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, DATUK MOHD. RIDZA AWANG mengupas isu ini.
Ikuti temu bual di pejabatnya di ibu negara, baru-baru ini.
UTUSAN: Bagaimana Datuk lihat penglibatan masyarakat terhadap aktiviti kembara hutan khususnya di HSK sejak kebelakangan ini?
MOHD. RIDZA: Pada 1978, akta berkaitan perhutanan dibuat dan diberikan pengkelasan terhadap jenis-jenis hutan. Pada masa itu, kita lebih tertumpu kepada kawasan-kawasan rekreasi hutan lipur, sekarang dijenamakan sebagai taman eko rimba. Aktiviti di kawasan ini lebih melibatkan keluarga yang membolehkan orang ramai masuk ke dalam hutan dan beriadah. Antaranya Taman Eko Rimba Kanching, Taman Eko Rimba Sungai Tekala, Taman Eko Rimba Lentang, Taman Eko Rimba Ulu Bendul. Ini konsep asal kita.
Dahulu ada kumpulan-kumpulan kecil pendaki yang betul-betul adventerous tapi sekarang berbeza. Trend mula berubah. Sejak lima tahun kebelakangan, sudah ada peningkatan. Jika dahulu kumpulan kecil, sekarang sudah kumpulan besar terutama melibatkan Gen Y (generasi Y) dan Gen Z yang sukakan aktiviti lasak dan mencabar.
Pandemik Covid-19 membuka lebih ruang kepada masyarakat untuk mengambil tahu tentang kemudahan-kemudahan rekreasi yang terdapat di negara ini. Semasa mula-mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, semua orang tersekat di dalam rumah.
Apabila sekatan ini dibuka pada Julai, sektor pelancongan domestik dibuka tapi sempadan negara masih tutup, kita lihat tumpuan orang ramai adalah di kawasan-kawasan rekreasi seperti taman eko rimba, masuk hutan untuk riadah, pendakian. Kemudian PKP sekali lagi, semua kembali berkurung.
Apabila dibuka sekarang, permintaan cukup tinggi bagi aktiviti riadah dan rekreasi melibatkan kawasan HSK. Kita boleh lihat sendiri gambar-gambar orang ramai berpusu-pusu ke tempat sebegini tular dalam media sosial. Ini menunjukkan lokasi-lokasi riadah di dalam hutan menjadi salah satu pilihan kepada orang awam. Ini sangat baik kerana mereka sudah mula dekat dengan alam semula jadi.
Mana kawasan perlu permit, mana yang tidak? Orang ramai mungkin keliru. Terdapat juga lokasi yang petunjuk dan papan tanda tidak diletakkan secara strategik. Apa kata Datuk?
HSK adalah kawasan hutan yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313). Di bawah Seksyen 45 akta ini, HSK diisytiharkan sebagai kawasan hutan terbuka dan hutan tertutup.
Hutan terbuka adalah kawasan-kawasan yang diberikan kebenaran kepada orang awam untuk menjalankan aktiviti-aktiviti seperti riadah, rekreasi, pendidikan. Mana-mana individu boleh masuk ke kawasan ini tanpa permit, contohnya taman eko rimba.
Kita ada 115 taman eko rimba dan 13 hutan taman negeri yang boleh dilawati orang awam di Semenanjung. Taman eko rimba lebih kepada aktiviti keluarga. Biasanya ada air seperti air terjun sebelah atas sikit. Laluan trekking tak banyak dalam kawasan ekorimba, pendek saja berbentuk lingkaran.
Kawasan hutan tertutup pula tidak dibenarkan mana-mana individu masuk kecuali dengan kebenaran. Kawasan pendakian selalunya hutan tertutup, orang awam perlu dapatkan kebenaran. Permit (Borang 6) merupakan suatu kebenaran kepada orang awam memasuki HSK. Mereka hendaklah mengemukakan permohonan ke Pejabat Hutan Daerah. Bayaran berbeza-beza mengikut negeri, iaitu antara RM5 hingga RM10 seorang. Mereka juga boleh membuat semakan melalui laman sesawang Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Berdasarkan rekod kita, ada 204 kawasan pendakian melibatkan HSK di Semenanjung menjadi tumpuan seperti Gunung Korbu di Perak, Gunung Stong (Kelantan) dan Gunung Angsi (Negeri Sembilan). Aktiviti pendakian melibatkan satu laluan panjang ikut permatang hingga sampai ke puncak. Ini yang sedang kita promosikan, iaitu pelancongan kembaraan berikutan ada permintaan tinggi daripada orang awam.
Tapi HSK sekarang masih ditutup untuk sebarang aktiviti berikutan PKP kecuali di Negeri Sembilan.
Kalau tidak pasti, bertanyalah kepada Pejabat Hutan Daerah. Contohnya, Gunung Nuang di Selangor, boleh Google (buat carian dalam internet). Orang awam kena ambil tahu, bukan semua tempat boleh masuk begitu sahaja. Jabatan kami juga ada memberi makluman menerusi media sosial.
Berdasarkan pemerhatian kami, kesedaran orang awam mengenai keperluan memohon permit sudah semakin baik terutama di kawasan HSK yang aktif menjalankan aktiviti pendakian. Kebiasaannya Jabatan Perhutanan Negeri akan menerima permohonan daripada malim gunung perhutanan yang berdaftar.
Sekiranya terdapat aduan awam berkaitan papan tanda yang diletakkan tidak jelas, kami akan tambah bilangan papan tanda HSK dan papan tanda larangan di lokasi strategik.
Kita cuba membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk pengunjung. Kita sediakan garis panduan, papan tanda, tempat rehat.
Apa jaminan keselamatan kepada pengunjung?
Pengunjung terdedah dengan pelbagai risiko semasa berada dalam HSK. Keselamatan pengunjung adalah tanggungjawab individu. Kecuali aktiviti dianjurkan oleh jabatan kami, maka langkah-langkah keselamatan diambil termasuk menyediakan paramedik dan jurupandu bertauliah.
Pengunjung dinasihatkan menggunakan khidmat malim gunung perhutanan bagi memastikan keselamatan mereka dapat diberikan perhatian.
Sekarang kami terima banyak pertanyaan daripada orang awam untuk memasuki HSK khususnya di sekitar Selangor. Mereka mahu masuk sebab sudah terlalu lama berkurung di rumah. Akta kita tidak membenarkan masuk tanpa permit. Jadi, sesiapa yang masuk tanpa kebenaran adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.
Di bawah Seksyen 47(4) Akta 313, denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya menanti mana-mana individu yang memasuki HSK tanpa permit atau kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Yang menjadi masalah apabila pendaki sesat. Contoh terkini, seramai tujuh remaja sesat di Gunung Hitam, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini adalah di luar pengetahuan kami. Jabatan Perhutanan Negeri Selangor belum mengeluarkan sebarang kebenaran menjalankan aktiviti di HSK kepada orang awam berikutan PKP yang masih berkuat kuasa sejak 11 Januari lalu. Makluman berkaitan larangan memasuki kawasan berkenaan ada dipasang di laluan masuk denai pendakian Gunung Hitam.
Kejadian ini menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terpaksa menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat. Kami pula mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap ketujuh-tujuh remaja terbabit.
Nasihat Datuk kepada para pengembara hutan?
Patuhilah arahan-arahan pihak berkuasa. Pastikan anda mendapat kebenaran atau permit. Ini bukan sahaja kerana peraturan tapi juga sebagai langkah keselamatan. Bila sudah ada permit, dapatkan khidmat malim gunung perhutanan (jika ada).
Buat masa ini, tunggu sehingga pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan semula aktiviti ini.
Pastikan aktiviti ini dilakukan secara berkumpulan dan segala persiapan rapi dibuat sebelum memulakannya. Jangan pergi bersendirian.
Jangan lupa sarapan pagi supaya sentiasa bertenaga, nanti menyusahkan ahli grup pula. Sisa makanan jangan buang merata-rata. Kita tidak sediakan tong sampah. Konsep kita, bawa naik, bawa turun balik.
Mereka juga dinasihati tidak membuat sebarang perkara menyalahi peraturan. Contohnya, mengambil anak pokok liar dan tumbuhan menjalar, merosakkan denai dan kemudahan disediakan.
Nikmatilah keindahan alam semula jadi. Kami mengharapkan anda membantu menjadi mata dan telinga Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi menyalurkan sebarang kesalahan hutan.
Malim gunung hutan
Di Sabah, malim gunung disediakan untuk mereka yang mahu mendaki Gunung Kinabalu. Mereka membawa makanan, minuman dan barangan keperluan lain untuk pendaki selain menjadi penyelamat jika ada yang sesat atau cedera.
Kami mula memperkenalkan khidmat malim gunung perhutanan sejak dua, tiga tahun lalu di kawasan-kawasan kritikal seperti Hutan Simpan Kekal Pasir Raja, Terengganu dan Gunung Korbu, Perak.
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menganjurkan Kursus Malim Gunung Perhutanan yang pertama di Batu Pahat, Johor pada September 2020 disertai 60 orang. Mereka diajar aspek perhutanan, menyelamat dan bantuan kecemasan. Kursus adalah percuma dan diberikan sijil.
Ada 24 siri kursus di seluruh Semenanjung tetapi buat masa ini ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Peruntukan bagi kursus ini disediakan di bawah Tabung Covid-19 oleh Kementerian Kewangan.
Selepas ini kita akan meletakkan syarat bagi menggunakan khidmat malim gunung perhutanan kepada para pendaki yang ingin menjalankan aktiviti pendakian di kawasan gunung yang telah dikenal pasti oleh jabatan ini.
Bawa turun 3 tan sampah
Kadang-kadang sikap pengunjung ke kawasan hutan begitu mengecewakan. Mereka membuang sampah serta sisa makanan merata-rata, seolah-olah tiada langsung kesedaran sivik.
Contohnya, kami ada data di Gunung Nuang. Berat sampah yang dikutip setiap minggu di puncak dan sepanjang laluan mendaki tidak kurang daripada tiga tan. Memang tong sampah tidak disediakan tapi pendaki sepatutnya bertanggungjawab membawa turun semua sampah dan sisa makanan.
Sikap membawa sisa makanan atau sampah keluar dari kawasan hutan seharusnya perlu ada pada setiap pengunjung.










