SEBAGAI usaha menstabilkan politik negara, kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berunding dengan Pakatan Harapan (PH) bagi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik setara dengan perjanjian keyakinan dan pembekalan pada 13 September lalu.
Peristiwa ini amat bersejarah dan mampu menjadi tonggak kepada perubahan struktur politik negara yang kian buntu kebelakangan ini. MoU ini adalah satu tindakan tepat bagi meredakan suhu politik. Tetapi, masih ada sebahagian rakyat melihat MoU ini akan menjadi sandiwara politik jika gagal diuruskan dengan cermat.
Jurang kefahaman rakyat mengenai MoU ini masih lagi melebar. Ada yang mendakwa PH akan menjadi pak turut kepada kerajaan Ismail Sabri. Ada pula penyokong parti kerajaan tidak gemar, seolah-olah mereka terpaksa berbalas budi dengan pembangkang. Lebih teruk lagi, ada yang mengatakan PH sudah menyertai kerajaan Ismail Sabri melalui MoU ini.
Masalah kefahaman ini wujud kerana orang awam tidak diberikan pencerahan mendalam. Ia juga lahir daripada budaya politik zero-sum game (menang dapat semua, kalah tidak dapat apa-apa) yang masih menebal dalam kalangan pemimpin dan rakyat. Kini, kita harus menerima realiti politik Malaysia sedang menuju ke arah politik dwipartisan daripada politik zero-sum game.
Secara ringkasnya, MoU ini hanyalah perjanjian dimeterai atas dasar prinsip dan rundingan yang dipersetujui kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang. Di pihak kerajaan, mereka akan komited melaksanakan cadangan dasar pembangkang dan dijadikan sebagai dasar kerajaan. Sebagai balasannya, pembangkang tidak menolak atau mengundi berkecuali dalam belanjawan negara dan tidak mengusulkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Dengan kedudukan majoriti tipis kerajaan Ismail Sabri di Parlimen, tentunya sokongan merentasi parti politik amat penting supaya Perdana Menteri mempunyai ruang untuk meneruskan tugas-tugasnya. Ini juga peluang pembangkang untuk mentadbir bersama, khususnya dalam beberapa isu yang diperjuangkan seperti berkaitan krisis pandemik dan pemulihan ekonomi negara.
Terdapat lima fokus utama yang dipersetujui bersama iaitu transformasi pentadbiran, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963, pemerkasaan pelan Covid-19 dan pembaharuan Parlimen. Penambahbaikkan dalam isu-isu ini dilihat penting untuk mencipta ekosistem negara berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan dan muafakat berteraskan nilai demokrasi.
Cuma harus diakui, MoU yang dipersetujui bersama ini ada sedikit kekurangan terutama sekali dalam menekankan penambahbaikan dasar ekonomi dan pendidikan negara. Kedua-dua perkara ini dilihat penting memandangkan kesan pandemik Covid-19 telah menjejaskan anak-anak dari segi prestasi dan akses kepada kemudahan pendidikan.
Begitu juga isu ekonomi seperti peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat yang kian rendah. Maka dasar ekonomi seperti dasar mencipta pekerjaan, memperkenalkan pendapat asas sejagat dan memperkukuh jaringan kesihatan dan keselamatan sosial kepada golongan pekerja harus diletakkan sebagai keutamaan dalam MoU ini.
Masalah ekonomi dan pendidikan ini perlu diberi perhatian segera supaya ia tidak menjadi beban kepada rakyat dalam 10, 20 tahun akan datang.
DISEMAK SECARA TERBUKA
Ada kebimbangan sekiranya MoU ini gagal dan tidak dilaksanakan. Ini kerana terdapat beberapa tuntutan seperti menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan mengambil masa dan proses yang panjang untuk dilaksanakan, khususnya dalam tempoh dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 dilaksanakan.
Bagi memastikan MoU ini benar-benar dilaksanakan dan bukanlah sekadar sandiwara politik, perlunya ada satu pendekatan untuk menyemak dan mengimbangi pelaksanaan perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam MoU.
Pertama, MoU ini perlu diangkat sebagai kertas putih kerajaan. Langkah ini penting agar setiap butiran MoU diiktiraf sebagai dasar rasmi kerajaan yang boleh dibahaskan secara terbuka di Parlimen, khususnya perkara melibatkan pindaan perlembagaan dan penggubalan RUU baharu.
Ia sekurang-kurangnya dapat mengikat kedua-dua belah pihak untuk memberi kerjasama dwipartisan secara telus dan terbuka, bukan sekadar satu rundingan politik yang menguntungkan sekerat pihak sahaja.
Kedua, satu laporan lengkap mengenai pelaksanaan MoU perlu dibentangkan di Parlimen sebelum pilihan raya diadakan. Butiran laporan ini penting supaya rakyat dimaklumkan dengan pelaksanaan MoU yang telah dipersetujui antara kerajaan Ismail Sabri dan pembangkang serta bagaimanakah kerjasama dwipartisan ini berlaku.
Penelitian kemajuan MoU dengan menjadikan Parlimen sebagai badan mengawasinya diharapkan dapat menepis pelbagai muslihat dan perkara-perkara di luar batasan berlaku sama ada secara tersurat atau tersirat. Keterbukaan dan kejujuran merupakan kunci utama MoU dapat dijalankan dengan baik.
Hakikatnya, rakyat mahu MoU ini dilaksanakan untuk memperkukuh sistem demokrasi berparlimen dan mengatasi krisis ekonomi dan kesihatan negara yang kian membimbangkan. Mereka ingin melihat kerjasama dwipartisan benar-benar berlaku dalam fasa pemulihan ekonomi negara.
Kejayaan MoU bergantung kepada sejauh mana parti-parti politik memberi komitmen secara dwipartisan untuk melaksanakan agenda dipersetujui bersama. Jika kerajaan Ismail Sabri dan PH berjaya menunaikan MoU ini, ia akan membawa politik Malaysia yang lebih matang. Jika tidak, polemik politik negara akan bertambah parah dan usaha mengatasi pandemik dan ekonomi negara akan berada di jalan buntu.
PENULIS ialah Koordinator Penyelidik di Institut Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (Refsa).










