LANGKAWI: Proses memindahkan penduduk di penempatan haram Bukit Malut perlu disegerakan bagi mengelakkan lebih banyak sampah hanyut di perairan berdekatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainudin Kadir berkata, kedudukan penempatan tersebut di muara sungai menyebabkan sampah yang dibuang oleh penduduk hanyut ke laut ketika air pasang.
“Sampah yang dibuang dari perkampungan Bukit Malut akan hanyut ke laut dan apabila air pasang, sampah tersebut akan dihanyutkan ke tengah laut.
“Sikap mereka ini akan memberikan impak kepada industri pelancongan,” katanya di sini semalam.
Beliau mendakwa, tindakan penduduk membuang sampah ke dalam sungai dan laut boleh mencacatkan pemandangan dan menjejaskan reputasi pulau ini sebagai destinasi pelancongan.
Katanya, walaupun kerja-kerja pembersihan dilakukan pelbagai agensi namun keadaan itu masih berterusan setiap kali air pasang besar.
Akhbar ini melaporkan Yang Dipertua Majlis Bandaraya Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Radzuan Osman berkata, fenomena sampah terapung di perairan ini biasanya berlaku ketika musim tengkujuh dan air pasang besar.
“Sampah sarap dari penempatan Bukit Malut akan terapung dan hanyut di laut apabila air pasang besar. Apabila air pasang besar sehingga ke bawah rumah di penempatan itu, sampah yang dibuang itu dihanyutkan ke tengah laut,” katanya.
Kelmarin, seorang pengguna media sosial memuat naik satu rakaman video pencemaran yang didakwa berlaku di perairan Pulau Langkawi. – UTUSAN










