PETALING JAYA: Aktivis pelajar dan masyarakat, Adam Adli Abdul Halim mengakui membuat keputusan menyertai PKR selepas merasakan wujudnya ketidakstabilan politik negara yang berpanjangan ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau tidak boleh sekadar memandang dari jauh dan berdiam diri melihat politik negara terus berada dalam keadaan terumbang-ambing dan huru-hara.
“Sebab huru-hara itulah saya rasa ada keperluan untuk sertai politik. Saya tak tenang kalau saya sertai sewaktu aman damai atau sewaktu senang. Misalnya, selepas menang pilihan raya, kalau saya sertai politik waktu itu, untuk apa? Untuk jawatan? Untuk habuan?
“Waktu macam sekarang misalnya adalah waktu yang baik, sekurang-kurangnya saya dapat hindari tarikan jawatan dan kuasa yang dah banyak hanyutkan orang-orang politik, kadang tanpa disedari,” katanya.
Beliau yang kini berusia 35 tahun mengakui bahawa beliau telah menerima pelbagai pelawaan untuk menyertai parti politik termasuk PKR sejak dari zaman gerakan mahasiswa.
“Bukan hanya dari PKR, tapi juga dari rakan-rakan lain terutama dalam Pakatan Harapan (PH). Cuma apabila hari ini sewaktu saya rasa saya sudah sedia untuk terlibat lebih aktif dengan politik arus perdana kepartian, saya bincang dengan rakan-rakan seangkatan dan saya putuskan untuk sertai PKR,” katanya.
Beliau menyifatkan PKR mempunyai landasan yang berkesan, praktikal, dan ada capaian masyarakat yang lebih menyeluruh, selain merentasi kaum dan agama, umur dan jantina, negeri dan wilayah sekaligus memenuhi keperluan politik negara ketika ini.
“Tak dinafikan kalau nak diukur semata-mata garis atau aspirasi parti, mungkin saya pilih parti lain yang bukan dalam politik arus perdana, atau pun langsung tidak pilih untuk masuk mana-mana parti tetapi politik bukan satu dimensi.
“Tidak mudah untuk mana-mana parti politik mengekalkan prinsip atau garis parti terutama berdepan kuasa, PKR masih mengikat diri mereka dengan prinsip yang sama diperjuangkan sejak dahulu, itu satu kelebihan yang harus kita pandang,” katanya.
Selepas menjadi anggota PKR, Adam meletakkan matlamat peribadinya untuk mengerakkan lebih banyak wacana-wacana politik terutama dalam kalangan anggota parti, khususnya golongan muda di peringkat akar umbi serta di peringkat lapangan selain berhasrat untuk merancakkan lagi aktiviti dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau berminat untuk menjadi calon pilihan raya pada masa akan datang, Adam sebaliknya mahu membuktikan keupayaannya sebagai anggota parti terlebih dahulu.
“Berminat atau tidak, saya anggota yang masih baru, lebih baik lalui proses yang wajar dan buktikan dahulu kemampuan untuk bergerak sebagai seorang anggota parti,” katanya.
“Kita mungkin rasa kita layak untuk jadi pemimpin atau calon atau sebagainya, itu hanya andaian kita sendiri. Kita kena ukur dahulu keupayaan kita dengan buat kerja terutama di lapangan, baru kita sedar di mana kita sebenarnya. Jangan nanti kalau diberi peluang, kita sendiri kecundang,” katanya. – UTUSAN










