Kenapa kita kian galak berbalah? - Utusan Malaysia

Kenapa kita kian galak berbalah?

SAMBUTAN hari bersejarah tidak sepatutnya diraikan tanpa penghayatan mendalam tentang semangat dan sejarahnya. - IHSAN JPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN, kita menyambut Hari Malaysia. Pada 16 September 1963, tiga tanah jajahan British dimerdekakan dan bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu sebagai Malaysia.

Bersatu teguh, bercerai roboh. Ini ialah kejayaan besar dalam penyatuan satu rumpun bangsa demi membentuk sebuah negara berdaulat yang lebih gagah dan kuat.

Sambutan hari-hari bersejarah tidak sepatutnya diraikan secara fizikal sahaja tanpa penghayatan mendalam semangat dan sejarahnya. Ia bukan hanya sekadar menyaksikan acara gah atau persembahan untuk memaparkan aset pertahanan negara yang hebat lagi canggih.

Apa signifikannya kita beria-ia mengibarkan bendera jika selepas itu dibiarkan jatuh ke tanah? Tanpa pemahaman mendalam tentang ketinggian simbol negara serta sejarah negara bangsa, sukar untuk kita mengukuhkan semangat patriotisme dalam jiwa.

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Walaupun tanpa menempuh peperangan, usaha membentuk Persekutuan Malaysia bukanlah mudah.

Pelbagai cabaran, rintangan dan ranjau terpaksa ditempuh oleh nenek moyang dan pemimpin kita terdahulu.

Akhirnya pada 16 September 1963, terzahirlah titik penyatuan di antara Tanah Melayu dan tiga tanah jajahan British yang dimerdekakan iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura sebelum Singapura keluar dari Malaysia pada 1965.

Kejayaan pembentukan Persekutuan Malaysia membuktikan kebijaksanaan pemimpin kita terdahulu yang terbukti mampu berjuang tanpa perlu mengangkat senjata. Hal ini lebih bermakna memandangkan Persekutuan Tanah Melayu baharu sahaja ditubuhkan enam tahun sebelumnya.

BUTA SEJARAH

Semangat kesatuan, cintakan keamanan serta sanggup berkorban apa sahaja demi negara inilah yang perlu dipupuk semula ke dalam jiwa seluruh rakyat serta kepimpinan negara. Hari ini ada dalam kalangan rakyat serta pemimpin politik bertindak mempertikaikan perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ada pula yang buta sejarah sehingga merasakan seolah-olah negara ini terbentuk di atas tanah tidak bertuan. Apabila sering merasakan rumput di seberang lebih hijau daripada rumput di tempat sendiri, maka mereka asyik cemburukan bahagian orang lain.

Cubaan untuk memadam, memesongkan serta menokok tambah fakta-fakta sejarah oleh pihak tidak bertanggungjawab banyak merosakkan perpaduan rakyat. Apa gunanya laungkan pelbagai slogan jika melupakan ikrar janji yang dipersetujui dan dimeterai sesama kita? Dahulu semasa susah kita sanggup bersatu, kenapa sekarang kita semakin galak berbalah?

Tepuk dada, tanya selera. Jangan kita jadi kacang lupakan kulit atau tamak bagai anjing dengan bayang-bayang.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×