PUTRAJAYA: Insiden kepala air di Gunung Jerai, Kedah pada 18 Ogos lalu mendedahkan kerapuhan puncak kawasan pergunungan dan berbukit di negara ini semakin tidak lagi utuh.
Kebimbangan itu diluahkan pakar geologi terkenal tanah air, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo yang pernah terlibat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Nasional.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau yang bertanggungjawab merencana Geopark Jerai dengan luas keseluruhan 816 kilometer persegi itu, membayangkan tiada lagi puncak gunung yang benar-benar stabil.
“Semua puncak gunung dari masa ke semasa akan mengalami hakisan sungai yang boleh menjadi punca kejadian tanah runtuh terutama ketika hujan lebat dalam tempoh agak panjang.
“Lihat sahaja banyak bongkah besar berkumpul dalam alur dasar sungai hasil proses hakisan dan menggambarkan tiada puncak gunung yang betul-betul kukuh,” katanya di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia sebelum itu yang mengakui gabungan beberapa faktor termasuk tanah runtuh mengakibatkan berlaku bencana termasuk empat kesan runtuhan besar di gubir Gunung Jerai yang bercerun tinggi lebih 25 darjah selain disebabkan hujan lebat luar biasa dan retakan batu kesan daripada luluhawa.
Mengulas lanjut, Ibrahim memberi contoh kejadian gempa bumi dahsyat di Ranau, Sabah pada 2015 lalu yang mengakibatkan lebih 100 siri kejadian runtuhan batuan di Gunung Kinabalu.
“Saya menganggarkan gegaran pada 5.9 skala Richter itu menyebabkan lebih dua juta meter padu batuan jatuh dari atas gunung dan paras sungai sekitarnya naik satu meter,” jelasnya.
Ditanya adakah pasak gunung semakin tidak kuat, beliau menafikan pandangan itu, namun menyifatkan malapetaka juga berlaku ekoran fenomena semula jadi dalam jangka masa lama.
Proses hakisan ujarnya, terjadi berterusan dengan aliran air kuat itu yang turun kerana faktor tarikan graviti, turut memiliki kuasa menghakis tetapi kadarnya tidak dapat dilihat mata kasar.
Sebaliknya tambah beliau, hanya apabila berlaku tanah runtuh, barulah jelas tampak proses ini kerana jika saiz kejadian runtuhan bersaiz kecil, kelazimannya ia tidaklah begitu disedari.
“Gunung Jerai sama seperti gunung lain yang dari masa ke semasa memang selalu berlaku insiden tanah runtuh, tetapi tidak dirasai seumpama ratusan gempa bumi setiap hari,” katanya.
Bayangkanlah tambah beliau, banyak tanah kelodak dan pasir yang boleh dijumpai ada dalam sungai walaupun jauh dari laut kerana kesemuanya itu memang datang asal puncak gunung.
Meskipun masih selamat boleh dilawati orang ramai, namun kata Ibrahim, apabila tiba musim hujan, masyarakat pun kena berhati-hati dengan fenomena tanah runtuh dari atas gunung itu, apatah lagi jika ada kerja pembinaan bangunan di kawasan lereng tanah tinggi yang perlu diberi pertimbangan faktor kestabilan cerun agar tidak pula berlaku bencana runtuhan.
Terdapat lebih 300 gunung di seluruh negara yang berketinggian melepasi 1,000 meter dari paras laut dengan Gunung Kinabalu merupakan titik tertinggi termasuk di rantau Asia Tenggara. – UTUSAN










