Kerugian cecah RM75 juta - Utusan Malaysia

Kerugian cecah RM75 juta

Sukarelawan Jabatan Amal Malaysia PAS membantu membersihkan kawasan chalet Salak Denai semalam yang ditimbuni serpihan kayu dalam tragedi kepala air di Yan, baru-baru ini. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerugian harta benda dan infrastuktur kawasan yang terlibat dalam tragedi kepala air di Kuala Muda dan Yan pada 18 Ogos lalu dianggarkan RM75 juta.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerugian itu bersandarkan taksiran awal yang dibuat beberapa pihak berwajib.

Menurutnya, bersandarkan maklumat yang diterima didapati sebanyak 1,732 rumah kediaman terkesan dengan kejadian yang disifatkan terburuk dalam sejarah itu.

“Selain itu, sebanyak 124 premis perniagaan dan 14 pengusaha chalet pelancongan desa turut terjejas.

“Angka kerugian cukup besar iaitu mencecah RM75 juta dan itu hanyalah bersandarkan taksiran awal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri berterima kasih dan menghargai peruntukan RM78 juta yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob baru-baru ini.

Dalam lawatan ke Kuala Muda dan Yan Isnin lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM75 juta bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur yang berlaku.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan bantuan RM3 juta menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk membaiki rumah terjejas serta bantuan-bantuan lain.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, setakat ini kerajaan negeri telah menggerakkan pelbagai pasukan termasuk kakitangan dan jentera pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu mencuci, membaik pulih rumah serta infrastruktur di kawasan terjejas di samping mengendalikan pusat-pusat perpindahan.

Pada masa sama, katanya, kerja-kerja membanci kerosakan premis dan infrastruktur melalui agensi kerajaan negeri dan Persekutuan turut dijalankan.

“Proses itu agak rumit dan mengambil masa namun kita akan berusaha menyegerakan segala bentuk bantuan setelah proses taksiran selesai.

“Apabila semuanya telah dipastikan, barulah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menyerahkan wang seperti dijanjikan. Kita akan cuba melakukannya secepat mungkin dengan semua pihak sedang bekerja keras ke arah itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×