PETALING JAYA: Beberapa lokasi ‘panas’ yang sebelum ini menjadi lubuk penyalahgunaan dan pengedaran dadah dipercayai terputus bekalan ekoran kejayaan operasi polis sehingga merampas 17,000 kilogram dadah bernilai RM764 juta dalam tempoh lapan bulan tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pemeriksaan dan risikan pihaknya mendapati penagih di lokasi seperti di Jalan Chow Kit di sini sukar mendapatkan bahan terlarang itu.
Malah, pihaknya juga mendapati perkara yang sama turut berlaku di Pulau Pinang yang selama ini menjadi transit bagi sindiket menempatkan bahan terlarang itu yang diseludup masuk dari negara jiran sebelum diedar ke wbeberapa negeri lain untuk pasaran tempatan.
“Kita mendapati Chow Kit yang selama ini menjadi lokasi panas aktiviti dadah telah terputus bekalan semenjak beberapa hari lalu.
“Ini terbukti dengan tindakan agresif pegawai dan anggota JSJN di setiap kontinjen dan daerah dengan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 16,981 kilogram dan 6,524 liter bernilai RM764 juta sejak awal Januari hingga 12 Ogos lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Malah, Razarudin berkata, rampasan ini meningkat 155 peratus berbanding tahun lalu yang menunjukkan JSJN komited dalam membanteras penyalahgunaan, pengedaran dan penyeludupan dadah di negara ini.
Pihaknya juga menghantar surat pemakluman pada Mei lalu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memberikan maklumat serta memperketatkan kawalan di sempadan perairan.
“Risikan JSJN mendapati bekalan dadah masuk dari negara jiran menggunakan jalan laut sebelum diletakkan di Pulau Pinang. Melalui sana, bekalan akan dihantar ke beberapa buah negeri iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut beliau, pada tempoh sama, tangkapan melibatkan perkhidmatan kurier dilihat menurun apabila sebanyak 27 kes dicatatkan melibatkan 10 tangkapan berbanding tahun lalu iaitu 85 kes (103 tangkapan).
Katanya, modus operandi menggunakan perkhidmatan tersebut telah lama digunakan sindiket namun ia meningkat pada tahun lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Selain itu, sindiket akan mengupah pemandu lori bagi membawa bekalan tersebut. Bagaimanapun, kes melibatkan kurier menurun tahun ini hasil maklumat dan risikan JSJN selain disalurkan pihak tertentu di samping larangan rentas negeri dan daerah,” ujar beliau. – UTUSAN










